Aktres Malaysia bintangi siri TV popular AS

Shiva berkongsi berita dia berlakon dalam siri Gotham dalam laman sosial Instagramnya. (Gambar blogspot shivakalaiselvan.com)

Wanita muda ini tidak dikenali kecuali melalui jaringannya sahaja, tetapi minggu ini, beliau dikenali seluruh rakyat Malaysia sebagai pelakon siri televisyen popular Amerika Syarikat (AS), Gotham.

Tinggal di New York, Shiva Shobitha Kalaiselvan, 34, yang pernah muncul dalam teater “After Juliet” dan “Girls Malaysia” di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPaC) didapati melakonkan watak Lelia, ketua kontinjen wanita League of Shadows, yang setia kepada ajarannya dalam siri Gotham di saluran Fox.

Gambar Instagram.

Gadis kelahiran Kuala Lumpur yang muncul dalam episod 16 musim ke-4 siri tersebut bagaimanapun pernah terlibat sebagai bintang undangan dalam siri The Originals menerusi saluran CW, membawakan watak Ivy.

Ternyata, kemunculan terbaharunya ini membuatkan seluruh rakyat Malaysia teruja dan bangga malah membanjiri media sosial milik Shiva dengan pesanan “good luck”.

Menurut laporan akhbar tempatan, Shiva, lulusan Indiana University dan mengikuti kursus pasca siswazah di Columbia University, New York merupakan pengarah dan penerbit teater dan pernah terlibat dalam 2 produksi teater dengan syarikat Next In Line Productions.