Pasar buku untuk tampung 20 juta penduduk

Hampir semua genre buku dijual di sini pada harga jauh lebih murah. (Gambar Facebook)

Pertama kali Manas Kumar menjejakkan kaki ke pasar buku popular New Delhi yang terletak di kawasan bersejarah Delhi Gate ialah sewaktu usianya baru mencecah 13 tahun.

Enam tahun kemudian, remaja ini masih menyusuri pasar buku yang sama, yang diadakan pada setiap hari Ahad untuk mencari bahan bacaan yang boleh membantunya menghadapi ujian kemasukan ke institusi pengajian tinggi untuk kursus perubatan.

Manas bukan bersendirian kerana beratus-ratus orang lain membanjiri pasar buku sepanjang 1 kilometer untuk mencari buku kegemaran mereka yang meliputi pelbagai bidang.

Ribuan buku boleh dilihat disusun di tepi jalan yang terletak di Jalan Netaji Subhash Marg dan Asaf Ali di kawasan Daryagan.

Pasar buku ini tidak lekang daripada dikunjungi penggemar buku mahupun pelajar sekolah. (Gambar Facebook)

Pasar buku yang popular itu lokasi terbaik untuk penduduk Delhi yang seramai 20 juta mendapatkan buku pada harga yang paling murah.

“Saya memang suka datang ke pasar buku ini sejak pertama kali ibu saya membawa saya ke sini. Banyak buku boleh dibeli dengan diskaun yang hebat, “ kata Manas.

Kali ini beliau memerlukan buku teks serta kertas soalan contoh yang boleh membantunya mempersiapkan diri untuk menghadapi ujian kemasukan bagi kursus perubatan yang diminatinya.

Lebih sejuta pelajar India bersaing untuk mendapatkan tempat pengajian bagi kursus perubatan itu.

Ketika Manas sibuk mencari bahan bacaan untuk ujiannya, yang lain kebanyakannya datang untuk mencari bahan bacaan santai. Terlalu banyak buku dan murah pula harganya.

Sebagai contoh, penulis membeli dua buah buku berkulit keras dengan harga hanya 100 rupee (RM6), berbanding harga asal sekitar RM83. Sebuah buku memang buku terpakai tetapi masih dalam keadaan baik sementara buku yang satu lagi, hasil terbitan Amerika Syarikat mengenai sebuah negara Afrika, dicatat buku paling laris New York Times.

Buku-buku yang dijual di sini kebanyakannya pernah digunakan tetapi rata-rata dalam keadaan baik. (Gambar Facebook)

Ada yang menjual buku ikut berat buku, dengan menawarkan harga antara 100 hingga 300 rupee untuk sekilo.

Pelbagai jenis buku ada termasuk bahan bacaan untuk kanak-kanak, novel fiksyen, majalah asing, buku teks pelbagai subjek, kamus dan buku panduan.

Penulis sempat berbual dengan seorang penjual buku, Sonu Jain. Beliau sudah berniaga buku di pasar Daryaganj selama 12 tahun.

Menurutnya, peniaga buku mendapat bekalan mereka daripada pelbagai sumber termasuk penerbit, pemborong dan orang perseorangan yang tidak lagi memerlukan lagi koleksi mereka. Malahan buku juga diperolehi daripada peniaga barangan lusuh.

“Saya pernah membeli antara 300 hingga 400 buku dan majalah daripada seorang lelaki yang tidak mahu lagi menyimpan koleksinya. Buku-buku itu tentang filem dan bintang filem. Beliau sudah tidak berminat lagi, “ kata Sonu.

Apabila Sonu mempamerkan kolek buku lelaki itu, ada seorang lelaki yang membeli dengan banyak sekali kerana minatnya terhadap bintang filem Bollywood. Lelaki itu juga menaruh harapan untuk menjadi seorang pelakon.

Mereka yang sudah biasa dengan pasar buku itu akan berada di sana seawal yang mungkin kerana buku-buku yang bagus akan cepat disambar pembeli.

Ada yang datang siap dengan senarai buku yang dicari dan tidak perlu menyelongkar longgokan buku.

“Ada tak buku tentang Hitler?” tanya seorang pemuda kepada Jagannath, yang sudah 25 tahun berniaga menjual buku.

Pemuda itu mahu mencari buku “Mein Kampf”, buku autobiografi oleh pemimpin Nazi Adolf Hitler dikeluarkan pada 1925. Lelaki itu hanya berkata “buku Hitler” supaya penjual itu dapat mendengar soalannya dalam keadaan pasar yang bising.

Saya bertanya kepada Jagannaths sekiranya “buku Hitler” popular.

“Saya ada dapat purata 5 pertanyaan seperti itu tetapi perniagaan utama saya buku kanak-kanak, “ katanya sambil menunjukkan longgokan buku yang ada.

Pasar buku tepi jalan itu mempunyai kira-kira 250 orang peniaga. Di samping itu terdapat juga kedai buku dan syarikat penerbitan di Daryaganj.

Jagannath memberitahu penulis ramai pelajar, guru dan pegawai dagang menjual buku mereka apabila meningggalkan Delhi dan buku-buku itu akan dijual di pasar Daryaganj.

Rata-rata peniaga buku berkata perkembangan Internet serta teknologi digital mengurangkan permintaan untuk beberapa kategori buku.

Buku rujukan, majalah, kamus serta buku yang boleh memberi panduan, umpamanya bagaimana mendapatkan gaji yang tinggi bila mencari pekerjaan atau cara mengendalikan isteri yang suka berbelanja semakin kurang pembeli.

Semua itu boleh dirujuk di Internet.

“Jualan untuk bahan bacaan seperti itu jatuh 40% berbanding sebelum adanya Internet, “ kata Jagannath.

Bagaimanapun, pasar berusia berdekad-dekad itu masih beroperasi kerana permintaan tinggi daripada golongan pelajar serta akademik di Delhi.