Bagasi ‘Bomb to Brisbane’ bikin lapangan terbang di Australia gempar

Perbuatan seorang penumpang pesawat yang membawa bagasi tertulis “Bomb To Brisbane” (Bom ke Brisbane) menyebabkan sebuah lapangan terbang di Brisbane, Australia kecoh sebentar.

Penumpang yang dikesan sebagai warga emas bernama Venkata Lakshmi berusia 65 tahun dibawa ke bilik siasatan untuk soal sisasat dan pemeriksaan.

Bagaimanapun pihak polis mendapati ia tidak memiliki sebarang bahan mencurigakan.

Sebenarnya, warga emas tersebut mahu menulis ‘Bombay’, nama lama Mumbai di India, kemudian memotong separuh jalan dan menulis perkataan Mumbai di bawah “Bomb”.

Anak perempuan warga emas itu, Devi Jothiraj memberitahu perkara itu kepada akhbar tempatan.

“Mereka minta dia buka beg itu dan bertanya kenapa tulis ‘bomb’ dan ibu menjawab ia adalah Bombay,” katanya.

Bagasi berwarna hitam itu disedari penumpang ketika ia berada di tempat pengambilan beg dan perkara itu terus dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Situasi gempar seketika selepas pihak polis mengarahkan orang ramai mengosongkan tempat itu dan mengepung bahagian Lapangan Terbang Brisbane.