Cabar diri makan burger tarantula

Gambar: Twitter

Sebuah restoran di Durham, North Carolina, Amerika Syarikat mencabar pelanggan menikmati burger tarantula sempena bulan haiwan eksotik.

Restoran Bull City Burger and Brewery yang terkenal dengan menu haiwan eksotik pada bulan April menawarkan burger daging lembu dengan kepingan keju dan sos pedas tetapi ditambah dengan labah-labah tarantula yang dipanggang.

Pelanggan yang berjaya menghabiskan burger berharga AS$30 (RM116) akan dihadiahkan sepasang t-shirt khas.

Menariknya seorang wartawan wanita dari WRAL-TV di Raleigh dilihat sanggup menerima cabaran tersebut dan menikmati burger tarantula.

“Seperti ketam!” katanya dalam klip video yang merakam detik menikmati tarantula panggang secara berasingan.

Selain tarantula, restoran ini juga menyediakan pelbagai makanan berasaskan haiwan eksotik seperti daging unta, ular sawa, arnab dan sebagainya.