Doktor wanita Saudi ditahan, pandu kereta tanpa mahram

Seorang doktor wanita Arab Saudi ditahan dan disoal siasat selepas didapati memandu keretanya sendiri ke klnik tanpa ditemani lelaki.

Nampaknya, walaupun hanya tinggal 2 bulan untuk Arab Saudi membenarkan wanita di negara itu memandu kereta tanpa lelaki, nampaknya undang-undang tersebut masih berkuatkuasa tanpa sebarang pertimbangan.

Menurut laporan akhbar tempatan, Okaz, video doktor dari Al Baha memandu kenderaan dirakam oleh seorang pemandu lelaki pada Selasa lalu dan diviralkan dalam media sosial.

Ia juga menjadi bukti pihak berkuasa di Arab Saudi mengambil tindakan terhadapnya.

Walaupun dibebaskan tetapi suami kepada wanita itu diminta menandatangani borang menyatakan tidak akan membenarkan isterinya memandu kenderaan secara sendiri dan keseorangan sehingga halangan tersebut dikeluarkan.

Doktor itu pula dalam kenyataannya menyatakan terpaksa memandu kereta selepas suaminya sakit dan tiada lelaki lain untuk menemaninya.

Menariknya, berita itu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan warga Arab Saudi, sama ada daripada golongan ekstrem atau liberal moden yang menganggap ia sebagai tidak adil.

Ada yang bertanya jika wanita itu tidak sedar kewujudan Grab atau tidak tahu menghubungi teksi daripada memandu bersendirian.

Manakala ramai yang menekan ia sebagai tindakan Arab masih mundur dari segi pemikiran.

Dalam pada itu, seorang lagi pengguna mempersoal jika lelaki yang merakam kejadian itu ditahan memandangkan dia melanggar undang-undang jalan raya dengan memotong garisan kuning, menceroboh privasi seorang wanita selain menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

“Kalau seorang lelaki bawah umur bawa kereta ia bukan kesalahan, tetapi apabila seorang doktor wanita bawa kereta ke klinik, dia ditahan,” tulis pengguna Twitter @Rawan_19ep.