Pahang dalam senarai pelancongan dometik dan antarabangsa

Antara aktiviti ekopelancongan popular dan ekstrem di Pahang ialah menelusuri Sungai Tahan.

Sektor pelancongan tidak memberi pendapatan terus kepada kerajaan negeri, namun ia dinikmati secara langsung oleh rakyat melalui pelbagai perkhidmatan termasuk penyediaan hotel, makanan, pengangkutan, pemandu pelancong dan penjualan barangan kraf.

Atas sebab itulah penduduk setempat digalak melibatkan diri dengan lebih aktif dalam projek berkaitan ekopelancongan.

Pengarah, Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Negeri Pahang, Datuk Idros Yahya berkata penglibatan masyarakat setempat amat penting memandangkan tumpuan utama pada masa akan datang adalah untuk menjadikan Pahang sebagai destinasi sepanjang tahun dengan menumpukan kepada ekopelancongan.

“Produk ekopelancongan negeri ini memang menjadi tarikan utama terutamanya pelancong asing yang memang gemarkan hutan hujan tropika.

“Destinasi khusus tumpuan pelancong asing adalah Taman Negara, Tioman, Kuala Gandah, Merapoh, Cherating dan Sungai Lembing,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut beliau, selain menikmati keindahan pantai, sungai, bukit bukau dan gunung-ganang, pelancong domestik yang biasa dengan iklim negara ini semakin meminati aktiviti ekopelancongan.

Kaya dengan aktiviti ekopelancongan

Antara aktiviti ekopelancongan di Pahang ialah menelusuri sungai, melihat kelip-kelip dan meluncur ombak di Cherating, menyusuri Sungai Tahan dan memerhati beburung di Taman Negara, dan mendaki Gunung Tahan di Jerantut, mendaki Mossy Forest (hutan berlumut) di Cameron Highlands dan Gunung Nenek Semukut di Pulau Tioman.

Selain itu, menyelam dan snorkeling di Pulau Tioman, meneroka gua-gua di Merapoh (Kuala Lipis), luncur layang-layang di Balok dan memancing layaran di Rompin serta mendaki gunung berbatu dan via ferrata di Jerantut.

Via ferrata adalah laluan pendakian gunung yang dilengkapi dengan tangga besi dan kabel dipasang di permukaan batu.

Terlalu banyak destinasi menarik dan aktiviti yang dapat dilakukan di Pahang. Jika cuti sekadar 3 hari 2 malam, pasti tidak mencukupi.

“Terdapat banyak lagi tempat menarik yang antaranya Genting Highlands, Bukit Tinggi dan Bukit Gambang untuk keseronokan manakala Cherating, Tioman dan Bukit Fraser bagi pelancong yang inginkan ketenangan dan kedamaian.

“Malah, selain popular sebagai destinasi percutian, Kuantan dan Cameron Highlands, juga terkenal sebagai lokasi penganjuran mesyuarat serta seminar,” kata Idros.

Pengusaha sambut baik

Jadi tidak hairanlah jika negeri berkenaan baru-baru ini melancarkan Revisit Pahang 2018 sebagai kesinambungan Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP 2017), yang mencatat kunjungan kira-kira 14.8 juta pelancong, hampir mencapai sasaran 15 juta. Ia menunjukkan peningkatan berbanding 12.8 juta pada 2016.

“Bagi Revisit Pahang 2018, kita menyasarkan 15.5 juta pelancong dengan pendapatan kira-kira RM9 bilion. Pendapatan pada 2017 ialah RM8 bilion,” kata Idros.

Menurut beliau, 75% terdiri daripada pelancong domestik manakala 25% pelancong asing terutamanya dari Singapura dan China.

Beliau berkata, peningkatan jumlah pelancong berkait rapat dengan kepelbagaian aktiviti serta acara yang diadakan sepanjang kempen TMP 2017. Faktor lain termasuk kemudahan dan produk baharu yang dibangunkan oleh kerajaan serta swasta.

Beliau berkata MOTAC menyediakan pelbagai kemudahan infrastuktur bagi aktiviti ekopelancongan bagi memastikan keselesaan pelancong.

“Antaranya membina jeti untuk aktiviti sungai, tandas, tapak khemah, kemudahan untuk pendakian berbatu, serta membina tukun tiruan (penajaan korporat) bagi aktiviti menyelam dan banyak lagi.

“Kebanyakan pengusaha menyambut baik kemudahan tersebut malah mendapat sokongan penyertaan komuniti setempat. Ini selaras dengan Dasar EkoPelancongan Negara 2016-2025 agar komuniti setempat terlibat dengan lebih aktif memajukan produk ekopelancongan,” jelas beliau.

Tahukah anda, Cameron Highland pernah mencatat suhu paling rendah di seluruh Malaysia iaitu 7.8 darjah Celcius pada Februari 1978.

Terima keyakinan pelabur

Bagaimanapun, Idros mengakui terdapat beberapa destinasi yang merosot berikutan masalah kesukaran pengangkutan, seperti ketiadaan penerbangan ke Pulau Tioman, masalah pencemaran destinasi ekopelancongan di Taman Negara dan Tasik Chini serta kekurangan acara pelancongan di Raub.

Menurut beliau, kalangan pelabur dan syarikat swasta semakin berkeyakinan untuk terus berikutan perkembangan positif dalam sektor pelancongan Pahang.

Beliau memberi contoh pembinaan hotel 4 dan 5 bintang seperti The Royale Chulan dan The Kasturi di Cherating, Best Western Ion Delemen di Genting Highlands dan Manggala Resort & Spa di Gambang.

“Ada juga menaik taraf yang sedia ada seperti Hotel Hyatt Regency di Kuantan. Kebanyakan hotel ini memberi tumpuan kepada penjagaan alam sekitar atau menekankan kepada teknologi hijau.

“Dengan usaha yang dilaksanakan pelbagai pihak dan penyertaan masyarakat, kerajaan negeri menyasarkan ketibaan pelancong antara 18 hingga 20 juta menjelang 2020, dan meningkat kepada 25 juta menjelang 2025 dengan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur(ECRL),” tambah beliau.

Pahang kaya khazanah

Sementara itu, ahli jawatankuasa Persatuan Pemandu Pelancong Pahang, Noorafeza Rozali, 29, juga sangat positif mengenai Revisit Pahang 2018.

Noorafeza yang berharap aktiviti pelancongan di Pahang terus maju pada masa hadapan menegaskan, “Kita perlu anggap setiap tahun sebagai tahun melawat Pahang tanpa sebarang kempen. Pahang ada banyak khazanah untuk setiap peringkat dan minat pelancong.

“Penggiat-pengiat produk dan masyarakat setempat hendaklah bekerjasama dan lebih menonjolkan diri, seiring membantu kementerian memajukan industri kita.

“Selalunya pelancong tempatan akan mendapatkan maklumat tetapi melakukan aktiviti pilihan mereka sendiri. Tidak semua aktiviti memerlukan khidmat kami,” kata beliau yang menjadi pemandu pelancong bebas sejak 7 tahun lepas.

Noorafeza juga berharap permainan-permainan tradisional seperti wau, congkak, gasing dan lain-lain lebih diketengahkan pada tahun ini.

Pada masa sama, beliau berharap kemudahan seperti tandas dan tong sampah dapat ditambah secara menyeluruh kerana katanya, “Apa yang sedia ada memang mencukupi untuk hari-hari biasa tetapi tidak dapat menampung jumlah pengunjung yang banyak ketika cuti hujung minggu, musim perayaan atau cuti sekolah.”

Noorafeza kesal kerana terdapat kalangan pelancong yang tidak menggunakan pelbagai kemudahan yang disediakan seperti tong sampah, malah membuang sampah di merata tempat.

Aktiviti menelusuri Tasik Chini

Pengusaha Hafiz’s Cherating Activities, Mohd Hafiz Abdul Majid yang popular dengan aktiviti menelusuri sungai dan melihat kelip-kelip di Cherating juga sependapat semakin ramai pelancong tempatan meminati aktiviti ekopelancongan.

Ramai pelancong meminta beliau menguruskan perjalanan ke destinasi seperti Tasik Chini, Pusat Konservasi Gajah di Kuala Gandah dan kawasan air terjun seperti Air Terjun Pancing di Hutan lipur Sungai Pandan dan Air Terjun Pelangi di Sungai Lembing di Kuantan serta snorkeling di Pulau Ular dekat Cherating.

“Tahun ni saya nak promote Tasik Chini terutamanya, memandangkan ketibaan pelancong ke sana merosot beberapa tahun kebelakangan ini berikutan maklumat negatif yang keterlaluan oleh sesetengah pihak.

“Tasik Chini memang cantik dengan tumbuhan darat dan air terutamanya teratai, ada resort dan jeti yang cantik dan banyak aktiviti boleh dilakukan di sana,” katanya kepada Bernama.

Pelancong boleh menaiki bot di sekitar tasik itu, mengunjungi kampung Orang Asli serta melakukan aktiviti seperti menyumpit dan membeli cenderahati.