Mufti Mesir keluar fatwa ‘like’ palsu di Facebook haram

Mufti Besar Mesir, Shawki Allam. (Facebook)

Mufti Besar Mesir, Shawki Allam baru-baru ini tampil dengan fatwa menentang tindakan membeli dan menjual “Like” Facebook yang palsu.

Kata beliau, ia diharamkan bawah undang-undang Islam kerana berbentuk penipuan dan memperdaya.

Perkara itu dikongsi di Facebook rasmi milik beliau yang bagaimanapun membenarkan penggunaan untuk tujuan promosi dan iklan tetapi bukan oleh pengguna “palsu” dan profil peribadi.

“Jika ‘like’ itu bersifat palsu, diaktifkan secara elektronik, bukan mewakili seseorang, maka ia dianggap haram serta satu bentuk penipuan,” petik postingnya.

Allam menjelaskan beliau berkata demikian kerana membeli ‘like’ palsu adalah satu bentuk perdayaan untuk menunjukkan sesebuah laman Facebook lebih popular daripada hakikat sebenar.

Beliau juga memetik kata-kata Nabi Muhamad; “Dia yang memerangkap bukan daripada kita”, untuk menegakkan dakwaannya itu.

Tetapi bagi iklan yang dibuat untuk mencapai rangkaian pelanggan lebih besar, menggunakan ‘like’ banyak, bukan haram kerana ia dari orang sebenar.

Fatwa tersebut kemudiannya dibincangkan dalam rancangan perbicangan oleh Amr Adeeb, Kol Youm.

Awal tahun ini, Allam juga mengeluarkan fatwa rasmi menjelaskan ”cryptocurrency” tidak boleh diterima sebagai transaksi sah dengan menyamakannya sebagai ”perjudian”.

Agaknya “like” dan “komen” daripada cybertroopers haram tak?