Netizen tak puas hati, pelakon Avengers disisih di China

Dunia perfileman Hollywood sedang sibuk bercakap mengenai filem terbaru Marvel, Avengers.

Ekoran itu, pasukan dan krew filem itu adakan jelajah dunia sebagai usaha mempromosi dan memperkenalkan filem tersebut.

Baru-baru ini, Red Carpet Fan Event untuk peminat Marvel di Shanghai dihadiri Robert Downey Jr, Tom Holland, Tom Hiddleston, Mark Ruffalo Dan pengarah Joe Russo.

Bagaimanapun, kehadiran mereka pada sesi “meet & greet” yang berlangsung di Shanghai Disney Resort dikatakan tidak berakhir dengan begitu baik.

Ia berjalan lancar sehinggalah pengacara majlis menjemput penyanyi dan selebriti terkenal China sama-sama berkongsi pentas dengan para pelakon Avengers.

Biasanya, “tetamu” khas akan mendapat layanan VIP dan disanjung, berbeza di China apabila pelakon Avengers pula yang kena “sisih”.

Keutamaan lebih diberikan kepada selebriti China namun ia tidaklah dipedulikan sangat oleh krew dan pasukan Avengers sehinggalah para netizen berkongsi klip video berkenaan dengan komen mengecam.

Penganjur dan penaja majlis yang tetap mahu menyelit artis-artis tempatan dalam Fan Event dikatakan bersikap tidak sopan malah tidak menghormati pelakon bertaraf antarabangsa itu.

Mereka diketepikan terus dari pentas utama untuk memberi ruang kepada penyanyi dan artis tempatan selain ucapan seorang penyanyi lelaki turut dikatakan bersifat kasar.