Bomba realisasikan impian pasangan OKU miliki rumah

Projek Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka merealisasikan hasrat sepasang suami isteri bisu di Kampung Sebatu, Merlimau di sini untuk memiliki rumah sendiri.

Razak Seman, 49, seorang aktivis persatuan berkata beliau menanti hampir 30 tahun untuk memiliki kediaman yang lebih selesa dan akhirnya impian itu direalisasikan JBPM Melaka apabila menerima kunci untuk menduduki rumah tersebut hari ini.

Beliau bersama isteri, Norlizah Mohamad Nor, 47, yang tidak bekerja terpaksa menumpang di rumah ibu bapanya selama ini kerana tidak mampu membayar sewa rumah memandangkan pendapatan bulanan yang diterima tidak menentu.

“Syukur, saya rasa amat gembira kerana tidak menyangka akan menerima sebuah rumah yang selesa dan cantik,” katanya ketika ditemui menerusi jurubahasa isyarat iaitu Timbalan Presiden Persatuan Orang Pekak Melaka Muhammad Afiq Isa di sini hari ini.

Penyerahan kunci rumah 3 bilik bernilai RM40,000 itu disempurnakan penyandang Dewan Undangan Negeri Merlimau Datuk Roslan Ahmad dan turut dihadiri Timbalan Pengarah JBPM Melaka Noor Hisham Kamal.

Sementara itu, Noor Hisham berkata program Pembinaan Semula Rumah menerusi NBOS7: My Beautiful Neighbourhood berkenaan meliputi pembinaan semula rumah terbakar, rumah golongan miskin dan juga baik pulih.

“Melalui program ini, ia memberi impak mendalam kepada masyarakat khususnya penerima dan ini membuktikan pihak kerajaan dan JBPM sentiasa prihatin terhadap kepayahan hidup masyarakat,” katanya.

JBPM Melaka memperuntukkan RM105,000 bagi membina semula sebuah rumah dan 5 projek baik pulih tahun ini.