Guru kenalkan kaedah dekatkan pelajar dengan peribahasa

Cuba berbual dengan golongan remaja dan selitkan satu atau 2 peribahasa, besar kemungkinan mereka yang terdedah dengan penggunaan bahasa rojak dan slanga akan tertanya-tanya apa makna ungkapan itu.

Sudahlah tidak diendahkan, ada juga yang menjadikan warisan ibunda ini sebagai bahan jenaka dalam perbualan.

Perit telinga apabila mendengar peribahasa “songsang” seperti “ada udang di sebalik mi”, “ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke bawah”, “harapkan pagar, pagar tak boleh diharap” dan “di mana ada kemahuan di situ ada highway”.

Semuanya itu sudah tentu boleh menimbulkan kekeliruan terutama mereka yang tidak biasa dan kurang mahir mengenai peribahasa.

Guru Cemerlang Bahasa Melayu, Haslindar Nor Ismail menyifatkan keadaan itu bukan sahaja merosakkan keindahan bahasa tetapi menyebabkan peribahasa semakin sukar untuk difahami walaupun ia sudah diajar di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah lagi.

Lebih mesra dipanggil Cikgu Lindar Nor, beliau memberi sebab mengapa pelajar sukar memahami peribahasa kerana mereka hanya menghafal tanpa mengetahui rasional penciptaan peribahasa itu.

“Mereka tidak memahami maksud tersirat yang terkandung dalam peribahasa sehingga hilang minat dan cinta terhadap peribahasa kerana menganggapnya tidak relevan pada zaman ini, “ tambah beliau yang berpengalaman mengajar Bahasa Melayu selama 17 tahun di 2 buah sekolah iaitu SM Teknik Kuala Lumpur dan SMK Seri Bintang Selatan.

Pelajar tidak tahu peribadi

Cikgu Lindar Nor berkongsi dengan penulis pengalamannya ketika mengajar peribahasa kepada pelajar sekolah menengah atas iaitu tingkatan 4 dan 5.

Beliau pernah membawa jering, rebung, padi, buah pinang dan beberapa tumbuhan lain ke dalam kelas sekitar tahun 2009 semata-mata untuk menjelaskan kaitan tumbuhan itu dalam peribahasa Melayu kepada pelajarnya.

Ramai dalam kalangan pelajarnya tidak tahu nama tumbuhan yang dibawanya, contoh jering disangka ciku.“Bagaimana mereka hendak memahami dan menghayati peribahasa ‘tangkai jering’ jika tidak tahu apakah itu jering dan sebab buah jering dipilih untuk menggambarkan sikap orang yang kedekut,” kata Cikgu Lindar Nor

Kesedaran tentang kurangnya pendedahan generasi muda mengenai asal usul serta rasional lahirnya peribahasa ini membuatkan beliau menghasilkan teknik yang dipanggil DeSiR .

DeSiR ialah akronim kepada De (Definisi), Si (Situasi ) dan R (Rasional). Teknik ini adalah teknik mencari, memahami dan menghayati maksud sesuatu peribahasa dengan mudah.

Menurut beliau, tujuan inovasi ini untuk memudahkan pelajar mahupun guru memahami dan menghayati peribahasa yang menjadi falsafah dan pandangan hidup masyarakat Melayu sejak zaman dahulu.

“Apabila teknik DeSiR diperkenalkan, pemahaman dan penghayatan pelajar terhadap sesuatu peribahasa itu meningkat dan mereka menunjukkan minat untuk mengetahui, memahami dan menghayati sesuatu peribahasa.

“Ini berdasarkan kajian tindakan yang dilaksanakan pada tahun 2011 kepada pelajar sebelum dan selepas menggunakan teknik DeSiR,” katanya.

Dalam kajian itu, pelajar diberikan soalan peribahasa (Ujian pra) dan keputusan mereka rendah dan amat menyedihkan. Apabila diperkenalkan teknik DeSiR, mereka diberikan soalan yang sama (ujian pos 1) dan soalan yang berlainan (ujian pos 2). Di dapati keputusan untuk ujian pos 1 dan pos 2 meningkat dengan banyaknya.

Apabila melihat kesan teknik berkenaan, Cikgu Lindar Nor mula memperkenalkan inovasi beliau kepada pelajar dan guru di sekolah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Antara yang mendapat manfaat daripada teknik DeSiR ini guru kanan MRSM Semenanjung Malaysia, guru Bahasa Melayu Maktab Tentera Diraja, Guru SM Teknik dan pensyarah Kolej Vokasional.

Lebih membanggakan teknik ini turut mendapat beberapa anugerah antaranya Anugerah Gangsa peringkat antarabangsa pada International Exposition Research & Innovation in Education 2013 di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Pingat Gangsa peringkat kebangsaan pada Pertandingan Inovasi Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik Kategori Inovasi Produk Guru 2014 di Kuantan, Pahang serta Anugerah Emas Pertandingan Inovasi PdP Guru sempena Minggu Pendidikan Kerjaya dan Inovasi di SM Teknik Kuala Lmpur tahun 2015.

Guna taknik DeSiR

Melalui teknik ini, pelajar secara tidak langsung mengaplikasikan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dengan memahami dan menghayati maksud peribahasa berdasarkan situasi sebenar dalam kehidupan seharian.

Hal ini termasuk nilai murni yang terkandung dalam peribahasa yang boleh dijadikan pengajaran dan panduan dalam kehidupan sebenar.

Cikgu Lindar Nor berkata generasi hari ini, tidak didedahkan dengan asal usul dan sebab lahirnya sesuatu peribahasa seterusnya gagal memahami dan menghayati maksud peribahasa dengan berkesan.

Peribahasa itu sebenarnya, kata beliau, tercipta melalui pengalaman hidup orang zaman dahulu serta pemerhatian terhadap alam sekeliling yang sangat tajam, komunikasi seharian dengan anggota masyarakat, hasil ungkapan daripada golongan bijaksana dan golongan alim ulamak.

Ia kemudian perlahan-lahan diterima oleh kelompok masyarakat dan berkembang kepada anggota masyarakat yang lebih luas hingga diterima sebagai hukum adat atau nasihat moral bangsa Melayu.

Oleh sebab itulah, tidak ada nama pencipta peribahasa yang khusus kerana peribahasa pada mulanya diungkapkan seseorang yang berfikiran mendalam dan amat kreatif pemikirannya, jelas beliau yang 9 tahun menjadi Guru Cemerlang Bahasa Melayu.

Hurai peribahasa ikut defisini, situasi dan rasional

Melalui teknik DeSiR, setiap peribahasa itu dihuraikan melalui definisi, situasi dan rasional sesuatu peribahasa itu.

Contohnya peribahasa “bagai mencurah air ke daun keladi”. Definisi keladi ialah tumbuhan yang tumbuh di tempat yang berair atau paya dengan sifat daun adalah kalis air atau tidak basah.

Situasinya apabila air dicurah ke atasnya, daunnya tidak basah dan rasionalnya pula diumpamakan apabila memberi nasihat kepada seseorang dan nasihat itu sia-sia sahaja kerana tidak dipeduli dan diendahkan sepertimana sifat daun keladi itu yang kalis air.

Bagi menerangkan lebih terperinci, gambar sesuatu tumbuhan, objek atau situasi yang terdapat di dalam peribahasa itu turut disertakan bagi memudahkan pelajar dan guru memahami sifatnya.

“Setakat ini terdapat 50 peribahasa dikumpulkan dan akan ditambah dari semasa ke semasa,” katanya yang berhasrat untuk menerbitkan teknik ini dalam bentuk buku.

Lalui pelbagai halangan

Menurut Cikgu Lindar Nor, usaha memperkenalkan teknik DeSiR tidak melalui jalan yang mudah kerana ada pihak termasuk warga pendidik sendiri yang menganggap ia bukan satu inovasi kerana ia dianggap perkara biasa dan diketahui sejak sekian lama.

Bagaimanapun, beliau tidak mudah berputus asa kerana berpegang kepada “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan” dan prinsip “patah sayap bertongkat paruh”.

Malah beliau bertekad untuk terus memperkasa peribahasa Melayu walau ada pihak yang tidak menghargai usaha itu.

Langkah Cikgu Lindar Nor memperkenalkan teknik DeSiR ke beberapa pertandingan membuka mata banyak pihak dan menerimanya sebagai anatara inovasi yang dapat membantu guru dan pelajar lebih memahami dan menghayati sesuatu peribahasa.

“Kita tidak boleh sentiasa berpuas hati dengan apa yang kita ada. Seperti juga memasak, semua orang boleh memasak tetapi ada yang meluaskan kepakaran memasaknya dengan menghasilkan buku resipi.

“Begitu juga dengan peribahasa, semua tahu tentangnya tetapi berapa ramai yang boleh menjelaskan maksud tersurat dan tersirat tiap-tiap satu peribahasa itu dengan teknik yang lebih mudah difahami,” katanya.

Cikgu Lindar Nor kini menyambung pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang semantik iaitu mengkaji peribahasa yang terkandung dalam novel KOMSAS tingkatan satu hingga lima.

Bakal membukukan kaedah DeSiR, beliau berharap buku itu nanti dapat memberi manfaat kepada semua pelajar dan guru untuk memahami, menghayati dan akhirnya dapat memberikan nafas baharu kepada peribahasa yang kini semakin terkubur.