Kanak-kanak 12 tahun lari ke Bali selepas gaduh dengan ibu

Apa yang seorang kanak-kanak berusia 12 tahun mampu lakukan selepas bergaduh dengan ibu bapa? Paling-paling pun ke rumah rakan atau memang ada yang berani “lari seketika” dari rumah.

Tetapi seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dari Australia menggemparkan keluarganya apabila ambil keputusan untuk melancong seorang diri ke Bali, Indonesia selepas bergaduh dengan ibu bapanya.

Kanak-kanak itu dikatakan mencuri kad kredit milik ibunya untuk menempah tiket penerbangan dan hotel mewah di Bali selepas berjaya mendapatkan pakej pelancongan murah dengan melayari internet.

“Kebetulan saya dapat harga sangat baik dalam internet,” kata kanak-kanak itu kepada 9 News.

Dia juga dikatakan memperdaya neneknya dalam mendapatkan pasport sebelum melakukan prosedur berikutnya.
Menurut laporan agensi, kanak-kanak berkenaan menaiki penerbangan transit dari Sydney ke Perth dan kemudiannya terus ke Denpasar, Bali.

Dia memberitahu tiada sesiapa pun menegurnya yang bersendirian di Lapangan Terbang Sydney kecuali pegawai bertugas yang sekadar meminta kad pengenalan pelajar dan pasport untuk membuktikan dia berumur 12 tahun dan belajar di sekolah menengah.

Ibu kepada kanak-kanak itu, Emma hanya sedar kehilangan anaknya selepas sekolah melapor anaknya tidak hadir ke sekolah.

“Dia sepatutnya ke sekolah tetapi berjaya memperdaya kami dan melancong ke Bali. Dia berada di hotel 4 bintang, All Season, selama 4 hari sebelum dibawa pulang,” kata Emma.

Dia juga menjadi kanak-kanak pertama dari Australia yang berjaya meyelusup keluar dari negara itu tanpa pengawasan ibu bapa.