Lorong gelap, celah bangunan jadi lokasi kahwin

Kalau nak kahwin, macam-macam lokasi jadi pilihan, daripada hotel bertaraf bintang, dewan gah, tepi kolam, tepi pantai, kalau tak pun, di rumah atau dewan orang ramai.

Tetapi rupanya ada juga pasangan memilih lorong gelap, celah bangunan tanpa banyak kemudahan asas.

Kesian…

Tetapi mereka bukan memilih atas dasar terpaksa atau dipaksa, tetapi sebagai memberi kelainan selain menarik perhatian netizen.

Maklumat mengenai perkahwinan pasangan Mohd Hafiszi Ngadmin, 33, dan pasangannya, Nornadiya Arjudin, 30 di Kulai, Johor diuar-uarkan oleh pengguna Twitter yang juga rakan pasangan, Sheikh Obaid (Foreman).

Dalam perkongsian itu, Obaid memuatnaik foto majlis kahwin di celah bangunan, berlatar kegelapan dengan khemah bersanding yang ringkas dan permaidani dibentangkan khas untuk jamuan makan bersila.

Menurut laporan Mstar Online, pengantin lelaki, Hafiszi memilih lokasi berkenaan kerana dekat dengan kafe adiknya.

Dia yang buntu memikirkan lokasi kahwin akhirnya mendapat ilham unik itu.

“Saya tak dapat sewa villa atau homestay sebab pemilik tak benarkan kami langsungkan majlis kahwin di situ.

“Isteri saya pula tinggal di pangsapuri, sukar buat majlis melibatkan tetamu ramai,” katanya seperti dipetik laporan portal itu.

Majlis itu berlangsung pada Sabtu lalu bermula pukul 8 malam dengan hampir 300 tetamu.

Tambah menarik, Hafiszi akui dia hanya membelanjakan sekitar RM10,000 untuk seluruh majlis yang melibatkan kos kanopi, pelamin dan makanan dan permaidani dibelinya untuk tetamu makan bersila.

Laman Facebook Visit Johor juga berkongsi berita ini dengan status, “Rare betul pasangan pengantin Mohd Hafiszi Ngadmin dengan Nornadiya Arjudin ni kahwin dekat lorong berdekatan dengan Warung Orkes je. Kot kot lepasni korang pun nak buat wedding rare camni boleh la usha Facebook Page Warung Orkes!”