Surat putus cinta, seluar dalam Madonna bakal dilelong

Penyanyi terkenal, Madonna terpaksa akur dengan perintah mahkamah dan membenarkan barangan milik peribadinya termasuk seluar dalam yang dipos kepada kekasihnya dilelong.

Menurut mahkamah, Madonna tidak mempunyai alasan kukuh menghalang Darlene Lutz, seorang penjual seni dan bekas rakan yang membantu Madonna membina koleksi peribadi sebelum mereka bergaduh untuk melelong barangannya.

Apa yang menjadi kebimbangan Madonna ialah surat putus cinta daripada legenda Rap, Tupac Shakur pada 1995 selain seluar dalam yang dikirimnya, lapor AFP.

Lutz menyimpan 22 barangan seperti kaset dan berus rambut yang bakal dilelong oleh syarikat lelongan Gotta Have Rock and Roll sebelum mahkamah mengeluarkan satu injuksi pada Julai tahun lalu.

Madonna meminta sesi lelongan dibatalkan kerana ia menceroboh hak peribadinya.

Kisah cinta antara Madonna dan Tupac dibawa ke perhatian awam pada tahun lalu oleh Madonna.

Penyanyi yang ditembak mati pada 1996 itu menolak hubungan dengan Madonna kerana tidak mahu imejnya terjejas jika dia menjalinkan hubungan dengan wanita kulit putih.