Datuk bandar ‘photoshop’ gambar nak tunjuk buat kerja

Menyunting gambar guna aplikasi Photoshop bukanlah perkara baru dalam dunia politik dan ia berlaku di mana-mana saja.

Baru-baru ini Datuk Bandar Alvorada, José Arno Appolo do Amaral dan timbalannya Valter Slayfer dari Brazil dikecam selepas sekeping gambar menunjukkan mereka kononnya memeriksa tapak pembinaan didakwa gambar disunting menggunakan Photoshop.

Gambar itu menunjukkan kedua-dua mereka dan seorang lagi di tapak binaan, turut kelihatan sebuah tapak kapal korek ditempatkan di tepi jalan.

Orang ramai mempersoal gambar yang dimuatnaik di Facebook rasmi perbandaran Alvorada kerana kedudukan ketiga-tiga gambar itu kelihatan janggal.

Turut disertakan dalam gambar itu ialah keterangan panjang lebar mengenai lawatan tersebut sekaligus mengakui berpuas hati dengan kerja-kerja hidraulik dijalankan.

Orang ramai yang curiga pula tidak berhenti menyoal dan cuba merungkai dengan pelbagai kaedah, paling mudah dengan “zoom” gambar tersebut bagi menunjukkan betapa peliknya kedudukan mereka.

Mereka seolah-olah berdiri dengan sedikit terapung di atas jalan tidak rata itu selain warna pakaian yang jauh berbeza dengan warna persekitaran.

Gambar lawatan yang dimuat naik di laman Facebook sudah dipadam oleh perbandaran Alvorada tanpa sebarang sebab.

Bagaiamanapun foto itu bukan sahaja tular tetapi diubah menjadi pelbagai “meme”.

Amaral ketika dihubungi pihak media tempatan akui gambar itu kelihatan disunting tetapi tidak kena-mengena dengan dirinya.

Katanya ia mungkin dilakukan oleh pekerja pelatih yang mahu membuktikan sesuatu.

Beliau juga memberi jaminan akan memecat pihak yang melakukan suntingan tersebut sehingga gambar palsu itu viral.