Jom kenang zaman muda ahli politik

Penuaan ialah proses semula jadi bagi semua orang. Walaupun kemajuan teknologi kosmetik menjanjikan revolusi, namun penuaan akan tetap berlaku.

Biasanya kita tidak sedar betapa cantik, ayu atau kacaknya seseorang pada waktu mereka muda sekiranya kita hanya mengenali mereka apabila agak berusia.

Tidak ketinggalan bagi mereka masih mengekalkan ciri wajah kanak-kanak walaupun sudah dewasa dan mereka sendiri bergelar seorang ibu.

FMT Ohsem akan berkongsi beberapa gambar foto ahli politik (dan isteri) untuk pembaca mengenang zaman muda mereka.

Gambar pertama adalah wanita-wanita yang secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam politik negara, termasuk isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau bukan calang-calang, sebaliknya berkelulusan Universiti Malaya dan Louisiana State University di Amerika. Menariknya, gambar Rosmah sewaktu muda antara pencarian paling aktif di Google, membuktikan raut wajahnya yang manis menjadi perhatian ramai. Tidak ketinggalan ramai yang menyamakan wajah Rosmah dengan pengacara dan pembaca berita era 90-an, Puan Seri Normala Samsuddin.

Personaliti wanita muda PKR daripada Pakatan Harapan, Nurul Izzah Anwar nampaknya kekal dengan raut wajah keanak-anakannya sejak kecil. Antara adik-beradiknya, Izzah paling lantang selain paling aktif dalam politik. Mungkin kerana kedudukannya sebagai anak sulung memimpin beliau terlibat dalam dunia politik.

Seterusnya ialah gambar dulu dan sekarang ibu kepada Nurul Izzah Anwar iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah.

Lahir pada 1952, kini 66 tahun, beliau seorang doktor berkelulusan bidang obstetrik dan ginekologi. Perpendidikan di Dublin, Ireland beliau juga penerima anugerah pingat emas ”MacNoughton-Jones Gold Medal”. Menjadi pakar oftalmologi di Hospital Besar Kuala Lumpur dan di Hospital Universiti, Universiti Malaya, beliau berkahwin pada usia 23 tahun selepas berkenalan dengan Datuk Seri Anwar yang ketika itu presiden ABIM. Mulanya, perkahwinan mereka dikatakan tidak begitu direstui bapanya Wan Ismail tetapi selepas mendapat anak pertama, hubungan kekeluargaan semakin akrab.

Seterusnya ialah gambar dulu dan sekarang pemimpin kanan negara.

Lihat saja gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memang banyak bezanya. Najib sendiri pernah mengakui perbezaan ketara dalam satu tweet pada tahun lepas. “Evolusi saya dilihat dari kad pengenalan. Kemerosotan dan pemutihan rambut yang ketara. Hadiah daripada @jpnm_official. Terima kasih,” tulisnya pada kapsyen gambar. Ramai yang pernah melihat gambarnya sewaktu muda akui Najib berpersonaliti kacak.

Datuk Seri Anwar Ibrahim pun tak kurang hensemnya juga, patutlah Wan Azizah tertawan. Beliau yang kelahiran Pulau Pinang dikatakan sememangnya seorang yang popular sejak muda, banyak terlibat dalam pergerakan politikal dan menjadi anak emas Dr Mahathir sehinggalah berjaya mendampingi beliau sebagai timbalan perdana menteri di usia muda. Selain kacak, semangat beliau mendalami politik menjadikan Anwar seorang yang disegani pada waktu itu.

Selain pemimpin kanan, FMT Ohsem juga berkongsi gambar muda Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) merangkap Pengerusi Biro Teknologi Maklumat Umno Datuk Ahmad Maslan dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Memang ada perubahan ketara pada raut wajah ketiga-tiga mereka, khususnya Ahmad Maslan dan Azmin Ali yang kelihatan lebih kurus dan muda.

Agak-agak antara semua ahli politik lelaki, siapa paling kacak dan bergaya pada pendapat anda?