PM Lubnan lancar aplikasi swafoto menjelang pilihan raya

Saad dikenali sebagai pemimpin yang gemar berswafoto dan memuat naik gambar bersama rakyat dan pemerintah. (Gambar AFP)

Dalam mendekatkan diri dengan rakyat, Perdana Menteri Lubnan, Saad Hariri tampil dengan idea baharu.

Beliau melancarkan aplikasi swafoto yang membolehkan pengguna berkongsi gambar mereka bersamanya secara dalam talian.

Dalam berita yang dikongsi di Twitter, Saad berkata aplikasi itu boleh dimuat turun oleh rakyat dan membolehkan beliau sentiasa bersama penyokongnya.

Menariknya, tweet tersebut mendapat respon positif apabila ramai yang memuat turunnya.

Menurut laporan agensi, penyokongnya juga menyampaikan hasrat untuk mengambil lebih banyak gambar bersamanya.

Aplikasi swafoto itu dilancarkan seminggu sebelum pilihan raya Lubnan yang akan berlangsung buat pertama kali dalam tempoh 9 tahun.

Saad dikenali sebagai pemimpin yang gemar berswafoto dan memuat naik gambar bersama rakyat dan pemerintah negara lain seperti Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman, Presiden Perancis, Emmanuel Macron serta Emir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad al-Sabah.

Saad mewakili parti Gerakan Masa Depan bertanding di 2 daerah dan bakal bersaing dengan 8 calon lain termasuk Hizbullah dan kumpulan masyarakat sivil.

Laman sosial sering kali digunakan oleh pemimpin dunia untuk mendekatkan diri dengan rakyat.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump juga terkenal dengan muat naik Twitternya setiap hari.

Malah, Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib juga antara pemimpin dunia yang aktif berswafoto dan aktif menggunakan laman sosial dalam berhubungan dengan rakyat.