Sensor tempat duduk mampu kesan barang tertinggal dalam kereta

Sensor pada tempat duduk kereta yang boleh menghantar mesej kepada telefon pintar pemandu mengenai anak kecil, beg, dan binatang peliharaan masih berada di tempat duduk penumpang menjadi tumpuan pada Jerayawara Mobiliti Terhubung pada hari pertama Pameran Auto Malaysia 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Sensor berkenaan dibangunkan oleh syarikat tempatan, ORS Technologies Sdn Bhd dan hanya perlu dipasang pada bahagian bawah tempat duduk penumpang, dijangka memasuki pasaran menjelang hujung tahun ini.

Pengarah Urusan ORS Technologies Sdn Bhd, Khairulnizam Ruslan berkata, sensor berkenaan praktikal bagi mengelak insiden kanak-kanak tertinggal di tempat duduk belakang kereta sehingga mengakibatkan kematian seperti yang pernah dilaporkan media sebelum ini.

“Sensor ini boleh diatur supaya menghantar mesej kepada telefon pintar pemandu pada frekuensi setiap 1, 2 atau 5 minit sehinggalah pemilik telefon meletakkan mod dimatikan. Ia juga boleh diatur untuk menghantar mesej kepada lebih daripada satu nombor telefon seperti kepada ibu dan ayah kanak-kanak tersebut,” katanya kepada Bernama.

Tambah Khairulnizam, sensor tersebut menggunakan internet dan masih boleh menghantar mesej kepada telefon pintar pemandu walaupun enjin kenderaan sudah dimatikan.

Sejak 2016, lima kematian kanak-kanak dan bayi akibat ditinggalkan di dalam kereta dilaporkan di Malaysia. Perkembangan ini menyebabkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memandang serius perkara tersebut dan menimbang untuk mendakwa ibu bapa yang terlibat kerana cuai.

Tambah Khairulnizam, selain berguna untuk mengatasi masalah, ibu bapa yang cuai dan tertinggal anak di tempat duduk belakang kereta, sensor ini dapat digunakan bagi tujuan keselamatan seandainya ada yang cuba menyelinap masuk ke dalam kereta dan bersembunyi di tempat duduk belakang bagi tujuan jenayah. Ini terutamanya bagi mereka yang memandu berseorangan.

Jelas Khairulnizam, pada masa ini ORS Technologies sedang mengumpulkan maklum balas komersial mengenai sensor berkenaan sebelum memutuskan jumlah unit yang akan dikeluarkan untuk kumpulan pertama sensor itu.

Selain sensor tempat duduk, tambah beliau, ORS turut membangunkan teknologi sensor kenderaan bagi mengesan pelanggaran dan akan menghantar amaran kemalangan kepada nombor telefon bimbit yang ditetapkan termasuklah pihak yang memberikan bantuan kecemasan.

“Sensor ini boleh digunakan oleh ibu bapa yang ingin memantau anak remaja yang baru memiliki lesen memandu, pemilik kenderaan yang ingin mengetahui sama ada kenderaan mereka dilanggar ketika diparkir atau memastikan pihak yang memberikan bantuan dapat mengesan sekiranya berlaku sebarang kecemasan,” kata Khairulnizam lagi.

Jelasnya, ORS Technologies komited membangunkan teknologi mobiliti masa depan yang memberikan kehidupan lebih selesa, selamat dan moden kepada masyarakat.