Dari burger ke kondom, perasa nasi lemak jadi pilihan

Perasa unik dalam sesebuah produk ternyata memberi kepuasan tersendiri kepada pengguna. Ia menyebabkan hampir semua produk diperkenalkan dengan perasa sama ada dalam bentuk citarasa atau bau. Inovasi perasa ini digabungkan dengan sesuatu makanan atau produk yang mempunyai permintaan dalam kalangan pengguna, memberi pilihan yang unik walaupun ada kalanya pelik.

FMT Ohsem senaraikan beberapa produk dan makanan berperisa pelik dan unik ini.

Gincu durian

Baru-baru ini jenama kosmetik tempatan, Elianto memperkenalkan produk kosmetik berperasa durian Musang King melibatkan gincu dan beberapa alat solek lain. Dikatakan menerima reaksi positif, apatah lagi durian yang sememanya menjadi raja buah di sini. Idea perasa durian ini walaupun unik tetapi sesuatu yang berani dan luar biasa. Kalau gila durian, memang padan!

Burger Nasi Lemak

Hari ini, satu Malaysia sedang berebut untuk merasa, burger nasi lemak yang diperkenalkan oleh rangkaian makanan segera, McDonalds. Daging ayam dengan sos sambal dan telur berserta timun dengan bun, burger perasa nasi lemak ini pasti menjadi pilihan rakyat Malaysia yang memang menyukai makanan tersebut. Bagaimana dengan anda? Sudah cuba, bagaimana rasanya?

Ais Krim Teh Tarik

Teh tarik juga merupakan minuman petang kegemaran rakyat Malaysia. Pagi-pagi kenakan teh tarik bersama nasi lemak memang padu. Mengambil rasa teh tarik sebagai strategi pemasaran, jenama ais King’s Potong bersama F&N memperkenalkan ais krim potong teh tarik. Ais krim ini dikatakan lebih pekat dan memberikan rasa nak cuba lagi. Anda bagaimana, pernah cuba?

Kondom perasa nasi lemak dan durian

Kondom pun nak buat citarasa tempatan, jadi mereka kenalkan perasa durian dan nasi lemak. Sekali lagi ia membuktikan betapa rakyat Malaysia menggilai makanan nasi santan dan sambal pedas ini. Syarikat Karex Industries yang menjual kondom berjenama Carex menghabiskan masa 6 bulan membuat penyelidikan sebelum tampil memperkenalkan kondom ini yang mempunyai bau santan kelapa dengan diliputi pelincir yang hangat.

Sandwic keju pelangi

Apa yang menjadikan sesuatu roti sandwic keju istimewa? Tambahkan pelbagai warna menjadikan ia bukan sahaja menarik tetapi menjadi sandwic kegemaran rakaman Instagram. Mungkin itu yang difikirkan di sebaliknya apabila sebuah kafe di Pualu Pinang, Loaf U memilih untuk mengadaptasi idea yang sebelum ini popular di Thailand. Pelanggan gemar mengambil gambar dengan menarik kedua-dua belah roti sambil memperaga warna pelangi keju dalam roti.

Sambal strawberry bersama ikan masin

Ikan masin bukan sekadar memberi perasa tetapi menjadi sebahagian daripada menu dalam sambal strawberi ini. Terkenal dan hanya boleh didapati di kedai Abang Strawberry di Cameron Highlands, Pahang, sambal ini dikatakan memberi rasa unik tetapi sedap sehingga menjilat jari. Bayangkan kesedapan buah-buahan strawberi masam manis dibikin sambal dengan ikan masin, kalau tak boleh bayangkan, apa kata kita minta orang Cameron Highland hantar sedikit untuk dirasai?

Murtabak Maggi

Satu lagi inovasi masakan tempatan dan makanan segera paket, mi! Murtabak dikahwinkan dengan Maggi, bukan sahaja sedap tetapi amat mudah disediakan. Tak perlu cari chef atau pakar masak pro, sekadar ada tepung dan Maggi, boleh buat di dapur rumah. Pernah trending suatu masa dulu, hmmm… mungkin hari ini boleh sediakan murtabak Maggi untuk makan malam!

Vape perisa Redbull

Tahukan anda vape pun ada bermacam-macam perisa, salah satunya adalah perisa Redbull. Menurut pengedar, ia merupakan perisa yang popular dalam kalangan vaper Malaysia. Perisa ini terdiri daripada jenis buatan China dan Amerika Syarikat. Perisa dari AS ini dikatakan lebih manis kerana nisbah kandungan propelyne glycol yang lebih berbanding dari buatan China yang lebih kepada vegetable glycerine. Ini bahasa vaper, kalau tak faham, tak mengapa.

Lilin pewangi bau KFC

Beberapa tahun dahulu, lilin pewangi agak popular dan digunakan secara meluas untuk tujuan aroma terapi. tetapi tahukan anda kewujudan lilin pewangi bau KFC? Kentucky For Kentucky mencipta lilin “Fried Chicken Actual” yang diperbuat daripada ayam goreng sebenar dan lilin soya semulajadi yang berbau seperti rangkaian restoran makanan segera yang terkenal KFC. Mesti rasa lapar tiap kali nyalakan lilin ini kan? Pernah dipasarkan secara talian tetapi tidak pasti jika ia masih wujud.

Ais krim telur masin

Pernah dengar ais krim perisa telur masin? Kalau tak anda kena ke Pulau Pinang, sebuah kafe di sini menyediakannya perisa unik itu untuk dicuba. Hmm… macam mana agaknya rasa ais krim itu? Di kedai Utterly Ice Cream di Gurney Paragon Mall, anda boleh mendapatkannya pada harga RM8.50 satu skoop. Selain itu, turut disediakan ialah perisa wasabi dan pulut hitam. Apa lagi, cubalah!