China guna 300 juta lipas untuk lupus sisa

Sebuah ladang di Jinan, wilayah Henan di China dijadikan habitat bagi lebih 300 juta lipas yang berfungsi sebagai penghapus 15 tan sisa makanan setiap hari.

Ladang berkeluasan 1,800 meter persegi milik Li Yanrong di daerah Zhangqiu menggunakan lipas dalam pelupusan sisa makanan selepas kaedah penapaian yang digunakan sekarang ini bukan sahaja mahal tetapi tidak cekap serta mencemarkan alam sekitar.

“Kami menghabiskan 6 tahun membuat penyelidikan menggunakan lipas untuk melupuskan sisa rumah tanpa pencemaran.

“Lipas ini tidak hirau mengenai apa sahaja, lembut, keras, masam, manis, pahit atau pedas semuanya dimakan,” kata Li Pengurus Besar, Qiaobin Agricultural Technology seperti yang dipetik China Daily.

China menghasilkan lebih 60 juta tan sisa makanan dapur setiap tahun dan penggunaan lipas menjadi alternatif terbaharu untuk pelupusan sisa makanan yang tidak mencemarkan selain murah.

Li memiliki 300 juta lipas dan merancang untuk menambah jumlah itu bagi membolehkan proses pelupusan 200 tan sisa makanan dari Zhangqiu dan bandar-bandar terdekat setiap hari.

Kaedah yang digunakan ini dikatakan percubaan pertama seumpamanya di dunia menggunakan lipas untuk pelupusan sisa domestik.

Pasukan penyelidik Li terdiri daripada 5 pemegang ijazah lanjutan yang terlibat dalam pelbagai penyelidikan pembangunan peralatan perubatan sebelum ini.