Gadis kulit putih pakai cheongsam dikecam tak hormat budaya

Seorang gadis kulit putih dikecam bertalu-talu di laman sosial Twitter selepas dikatakan tidak menghormati budaya kaum Cina ekoran mengenakan cheongsam pada majlis prom sekolah tingginya.

Gadis dari Utah, Amerika itu mengenakan pakaian cheongsam berwarna merah ketat dengan potongan di sisi sebagai baju majlis prom yang dikongsi di laman Twitter miliknya, @daumkeziah atau Keziah.

Perkongsian itu bagaimanapun menerima reaksi negatif netizen yang menyifatkan gadis itu tidak menghormati budaya dan melabelnya sebagai rasis.

Pengguna Twitter bernama Jeannie berkata dia tidak akan memakai pakaian tradisional Korea, Jepun mahupun mana-mana tradisi lain walaupun dia sendiri seorang dari Asia.

“Saya juga tidak akan memakai pakaian tradisional Sweden atau Greek. Setiap pakaian mempunyai sejarah masing-masing,” tulisnya.

Manakala Cassandra Lam juga mengkritik Keziah dengan menyatakan dia tidak mempunyai alasan yang relevan untuk memakai cheongsam pada malam prom.

“Niat kamu tidak relevan, apa yang kamu katakan bukan menghargai budaya Asia sebaliknya menyebabkan perlabelan seks ke atas wanita Asia dan unsur komersial demi kepentingan wanita kulit putih seperti kamu.”

Keziah bagaimanapun terus berpegang kepada pendiriannya dengan menyatakan tujuannya hanya untuk menyambut dan menghargai budaya Cina serta memilih cheongsam kerana ia merupakan pakaian yang menawan dan cantik.

Bagaimanapun dalam siri rantaian tweet mempertahan postingnya, Keziah juga secara tidak sengaja menggunakan perkataan “just a dress” dan “it’s a f*** dress” yang sekali lagi mengundang kecaman.

Pengguna bernama Daniella Ha marah apabila Keziah bukan sahaja tidak menghiraukan komen netizen malah menyifatkan cheongsam sebagai “hanya baju”.

“Ia bukan ‘hanya baju’, ia budaya. Maknanya, dia tidak menghormatinya. Dia tidak menunjukkan sebarang tanda menghargai atau berpengetahuan mengenai tradisi Cina,” tulisnya.

Bagaimanapun bukan semua yang mengecam atau mendapatinya bersifat rasis. Ada netizen termasuk dari Asia melihatnya sebagai satu pengiktirafan untuk budaya Cina.

Vlogger Youtube popular Asia di Amerika, Gina Darling mengakui tidak terasa dengan dengan perbuatan gadis kulit putih berpakaian tradisi Cina untuk malam prom.

“Apakah saya seorang yang rasa tidak terkesan dengan posting gadis ini? Orang juga mengecam pose namaste sebagai rasis. Saya rasa ia hanyalah pose ‘sembah’ yang kita lakukan sejak tahun 2000,” tulisnya. Apa pendapat anda mengenai isu ini? Adakah salah memakai pakaian tradisi sesuatu bangsa dalam sambutan atau majlis yang tidak kena-mengena dengan mereka?