Malaysia ‘lubuk emas’ pekerja warga asing

Kerancakan pembangunan ekonomi Malaysia ditambah dengan suasana aman serta makmur menjadikan negara ini? Lubuk emas? Khususnya dalam kalangan pekerja asing.

Ada sesetengah daripada mereka sehinggakan sanggup meredah lautan luas dengan ombak yang mengganas menggunakan sekadar bot yang serba-serbi kekurangan, kerana yakin dapat mencari rezeki di negara ini.

Malah ada yang merantau bertahun-tahun meninggalkan keluarga serta sanak saudara semata-mata mahu mengumpul wang demi hasrat memberi kehidupan yang lebih baik kepada keluarga yang jauh di kampung halaman.

Menurut laporan Bernama Julai 2017, Kementerian Dalam Negeri dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat menyatakan sehingga 30 Jun, 2017, terdapat lebih 1.78 juta pekerja asing dari 13 negara sah direkodkan oleh Jabatan Imigresen.

Pekerja Indonesia adalah yang tertinggi iaitu 728,870 orang, diikuti Nepal (405,898), Bangladesh (221,089), Myanmar (127,705), India (114,455), Pakistan (59,281), Filipina (56,153), Vietnam (29,039), China (15,399), Thailand (12,603), Sri Lanka (5,964), Kemboja (5,103) dan Laos (39).

Sempena sambutan Hari Pekerja yang diraikan pada 1 Mei ini, Bernama menemubual 2 warga asing yang bukan sahaja berpeluang menimba ilmu di negara ini, malah kemudiannya mengorak langkah untuk menjadi usahawan, hasil daripada dasar kerajaan Malaysia yang memungkinkan mereka meraih kejayaan di negara ini.

Chef Ammar dari Palestin popular di Malaysia

Sebut sahaja nama Chef Ammar, pasti ramai yang pernah menonton program masakan beliau yang disiarkan stesen televisyen tempatan.

Chef selebriti ini sebenarnya sudah berada di Malaysia sejak 1985 untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perhotelan di sebuah kolej di Kuala Lumpur dan tidak menyangka keputusan untuk datang ke negara ini sebenarnya langkah permulaan untuk beliau menjadikan negara ini lubuk rezeki.

Anak kelahiran Palestin ini bekerja sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta di Pulau Pinang selepas tamat belajar sebelum menjadi chef masakan Arab di beberapa hotel bertaraf antarabangsa di negara ini juga di luar negara. Antara hotel itu ialah Hotel Holiday In di Batu Feringgi, Pulau Pinang, Hotel Shangri-La (George Town, Pulau Pinang), Four Seasons Hotel Kuala Lumpur dan Rebak Island di Langkawi.

Sepanjang 22 tahun menjadi chef di hotel bertaraf antarabangsa, Ammar sudah pergi ke banyak negara tetapi bagi beliau, Malaysia adalah yang paling istimewa kerana terdapat banyak peluang untuk mencari pelbagai cabang rezeki.

“Saya pernah kembali ke Jordan pada 1997, tempat saya membesar apabila Malaysia dilanda kegawatan ekonomi tetapi saya kembali semula ke negara ini pada 2001 kerana yakin ada masa hadapan yang cerah di sini.

“Biarpun terpaksa menganggur 2 bulan, tetapi saya akhirnya berjaya mengembangkan kerjaya sebagai seorang chef di Malaysia kerana pada masa itu industri pelancongan Arab begitu aktif di negara ini. Ramai pelancong Arab datang ke sini dan permintaan untuk penyediaan masakan Arab begitu tinggi,” katanya.

Kembali ke Malaysia kerana masyarakat hidup bersatu

Chef Ammar yang fasih berbahasa Melayu berkata sikap masyarakat negara ini yang mesra serta hidup bersatu padu adalah juga antara sebab mengapa beliau jatuh cinta dan kembali ke Malaysia.

Beliau turut mengakui pada mulanya kejutan budaya tatkala pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia kerana hairan bagaimana rakyat negara ini yang berbilang kaum boleh hidup begitu harmoni.

“Sifat peramah rakyat Malaysia menjadikan saya sangat seronok bekerja di sini dan saya tidak berasa terasing tinggal di negara ini.

“Saya juga lebih selesa tinggal di Malaysia dan hanya sesekali pulang ke kampung di Jordan. Lagi pun kalau pulang ke sana, saya tidak tinggal lama kerana rindukan Malaysia,” katanya yang berkahwin dengan wanita tempatan.

Bapa kepada 3 anak ini komited untuk bergerak sendiri dengan menubuhkan sebuah syarikat mengusahakan perniagaan rempah ratus Arab dan menghasilkan pelbagai produk seperti nasi Arab Mandy, rempah bukhari, rempah kabsah dan rempah beriani setelah sekian lama bekerja di hotel.

Ianya bermula apabila beliau diberi kesempatan untuk membuat program masakan ?Masak Dari Hati With Iman’ yang disiarkan stesen televisyen Al-Hijrah dan Astro pada tahun 2010.

Dari situ, Chef Ammar mendapat banyak permintaan penonton yang ingin menggunakan rempah yang digunakannya dalam program masakan berkenaan.

Terus mendapat sambutan tempatan

“Program itu berlangsung selama 7 musim. Satu musim ada 13 episod. Saya turut mengajar penonton cara untuk membuat rempah tetapi ramai yang meminta untuk beli yang dah siap.

“Saya memang masak menggunakan rempah yang dibuat sendiri, resepi turun temurun keluarga. Terbaru saya buka kafe masakan Chef Ammar di Jalan USJ 4/1, Subang Jaya kerana ada permintaan hendak merasai sendiri masakan saya.

“Sambutannya amat menggalakkan sejak ia dibuka pada Disember tahun lepas. Antara menu popular ialah Shawarma, nasi Arab Mandy, nasi bukhari, nasi kabsah dan manisan Arab baklava yang diubah mengikut selera tempatan supaya tidak manis sangat,” katanya.

Dengan segala cabang rezeki yang beliau peroleh di negara ini, Chef Ammar berasa hairan apabila ada segelintir rakyat negara ini lebih gemar mencari pekerjaan di tempat lain.

Walhal, banyak peluang pekerjaan dan sumber rezeki terbentang luas di depan mata mereka dan nikmatnya itu turut dirasai beliau.

“Syukur, kita ada banyak nikmat di negara ini. Persoalannya, bagaimana kita hendak dapatkan rezeki dan itulah yang penting. Semuanya perlu bermula dalam diri masing-masing iaitu kena rajin cari peluang, tidak putus asa dan bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan.

“Malaysia ini lombong emas dan untuk mendapatkannya, ia perlu diiringi dengan usaha,” katanya.

Infrastruktur yang baik

Turut berkongsi pandangan Chef Ammar ialah Nordin Abdullah, 49, Pengarah Urusan sebuah syarikat perunding, Glenreagh Sdn Bhd yang juga Pengasas Pusat Pengurusan Krisis.

Anak kelahiran Sydney, Australia ini dan fasih berbahasa Melayu datang ke negara ini ketika berusia 17 tahun kerana mengikuti keluarganya.

Ayahnya yang mempunyai syarikat perlombongan terbesar di Australia membuka ibu pejabat serantau di Kuala Lumpur pada 1992.

Bermula dari saat itu, beliau melihat sendiri kepesatan pembangunan di negara ini sehingga menambat hatinya untuk menjadikan negara ini sebagai tapak mencari rezeki dengan menjalankan perniagaannya sendiri.

“Saya cukup kagum dengan pencapaian negara yang pernah dijajah pada suatu masa dahulu dan akhirnya berjaya berdikari dan mencipta banyak kemajuan hasil daripada kepimpinan kerajaan sekali gus memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Pencapaian yang sangat hebat itu membuatkan anak sulung daripada 14 beradik ini yakin Malaysia adalah pilihan yang terbaik untuk beliau meneroka bidang perniagaan.

Malahan, beliau turut kagum dengan pelbagai kemudahan infrastruktur yang lengkap seperti jaringan sistem pengangkutan awam yang menghubungkan setiap destinasi di Malaysia, kelajuan peningkatan pencapaian Internet, penambahbaikan jaringan jalan raya yang membantu melancarkan urusan bisnesnya.

Kos murah, internet laju

“Agak mudah mengendalikan perniagaan serantau di Malaysia kerana usaha kerajaan negara ini yang sentiasa konsisten meningkatkan rangkaian pengangkutan awam sama ada perkhidmatan kapal terbang, kereta api mahupun pengangkutan darat.

“Malah, saya juga suka gunakan perkhidmatan LRT, MRT sekiranya perbincangan bisnes di sekitar destinasi yang ada kemudahan jaringan rel itu. Jimat masa dan cepat,” tambahnya.

Dengan pencapaian jalur lebar yang lebih baik termasuk di kawasan pedalaman, Nordin berkata semuanyanya itu sangat memudahkan beliau untuk bekerja dan berkomunikasi dengan staf serta pelanggannya di mana sahaja tanpa perlu memasuki pejabat setiap masa.

Apatah lagi, perkhidmatan caj talian komunikasi dan Internet di negara ini adalah murah berbanding negara lain.

“Kalau dahulu saya hendak telefon kawan di Australia, cajnya boleh mencapai ratusan ringgit sedangkan cakap 10 minit sahaja tetapi sekarang ini cajnya hanya beberapa ringgit sahaja kalau saya menghubungi kawan saya di luar negara.

“Bahkan boleh guna WhatsApp Call kerana Internet di sini cukup laju,” katanya.

Bagi Nordin, kekayaan sumber dan pelbagai kemudahan inilah yang menjadikan Malaysia sebagai tarikan ramai pekerja asing yang sanggup meninggalkan negara masing-masing untuk bekerja di negara ini selain kos sara hidup yang murah berbanding negara lain.