Strategi berkempen seni tawan hati rakyat

Meskipun tempoh berkempen secara rasmi hanya bermula pada Sabtu 28 April ini iaitu hari penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), usaha memancing undi sebenarnya sudah lama dijalankan.

Parti yang bertanding menggunakan pelbagai cara termasuk media sosial yang mempunyai jangkauan yang meluas khususnya dalam kalangan anak muda.

Sepanjang tempoh berkempen 11 hari sebelum hari pengundian pada 9 Mei, pastinya setiap parti yang bertanding akan “berperang habis-habisan” untuk menarik undi terutamanya golongan “atas pagar” serta generasi muda termasuk mereka yang akan mengundi buat kali pertama.

Menyampaikan ceramah politik antara senjata utama yang sering digunakan sejak sekian lama sepanjang kempen pilihan raya dan pada PRU ke-14 ini, ianya tidak terkecuali.

Cuma di sinilah strategi berkempen setiap calon dan parti diuji!

Jangan tidak tahu, hendak berceramah pun ada seninya yang tersendiri. Setiap bait kata ketika berhujah mengenai isu dan manifesto tidak boleh diambil mudah terutama dalam kepesatan dunia bermaklumat serta sebaran luas media sosial hari ini.

Tersilap kata, pastinya akan membawa padah!

Kaedah empati adalah antara yang sering digunakan dalam pengucapan awam terutama ketika kempen politik. Empati yang dimaksudkan ialah menyampaikan sesuatu yang berkaitan dengan audien mengikut tahap pemikiran mereka.

Menurut pakar dalam bidang pengucapan awam, Suhail Mohamed Kamaruddin, 33, empati perlu ditunjukkan dengan cara yang betul.

Jelasnya, empati ialah apabila seseorang penceramah politik dapat memahami isu sebenar dan apa yang menjadi kehendak rakyat.

“Saya lihat setiap parti, sama ada parti yang memerintah mahupun pembangkang memiliki nilai empati dalam ceramah mereka, cuma yang menjadi persoalannya sama ada mereka menyatakan dengan tepat atau tidak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau yang pernah dinobat Tokoh Belia Negara tahun 2015 dan sudah 7 tahun berkecimpung dalam bidang pengucapan awam menerima banyak jemputan daripada beberapa parti politik untuk melatih wakil mereka meningkatkan kemahiran dalam pengucapan awam bagi ceramah politik untuk PRU kali ini.

Berpengalaman luas dalam bidang pengucapan awam di peringkat antarabangsa dan tempatan, Suhail berkata seni retorik dengan menggunakan bahasa yang indah dan menarik juga amat penting untuk mempengaruhi audien atau pendengar.

Di kebanyakan negara barat, ilmu retorik adalah antara ilmu terpenting yang perlu dimiliki setiap ahli politik. Sikap dan emosi penceramah memberikan impak yang sangat besar kepada audien, katanya.

“Apa yang hendak disampaikan adalah penting namun cara penyampaian adalah lebih penting kerana ia akan menentukan penerimaan orang yang mendengar ceramah,” katanya.

Suhail menegaskan, menyampaikan maklumat palsu atau fitnah semasa berceramah politik bakal menghancurkan kredibiliti dan integriti seseorang ahli politik terutama setelah diketahui rakyat.

Walaupun kenyataan yang diberikan adalah ringkas tetapi sekiranya tidak tepat dan mengguris hati rakyat maka kesannya sangat besar bukan sahaja kepada ahli politik berkenaan bahkan memberi kesan kepada parti poltik yang diwakilinya.

“Integriti ketika penyampaian ceramah adalah antara syarat utama kepada penyampaian ceramah yang baik,” tambahnya.

Antara kesilapan biasa yang sering dilakukan ahli politik dalam penyampaian ceramah ialah dengan menyatakan segala kebaikan yang diperoleh oleh rakyat adalah datang daripada mereka dan hanya mereka yang dapat memberikan kebaikan berkenaan.

“Mereka menggambarkan seolah-olah duit tersebut adalah milik mereka. Cara penyampaian sebegini hanya akan membuatkan rakyat merasa mual dan akan memandang rendah kepada mereka.

“Ini adalah kerana sudah menjadi tugas mereka untuk mengurus harta rakyat dengan baik,” katanya sambil menambah setiap penceramah perlu mengucapkan penghargaan kepada rakyat kerana memberi kepercayaan kepada mereka sebelum ini.

Menceritakan kelemahan lawan politik pula hanyalah perlu berkisarkan pada kelemahan mereka dalam menjalankan tugas kepimpinan dan bukan bersifat peribadi.

Setiap penceramah politik adalah dilarang sama sekali memaki hamun orang lain di dalam penyampaian ceramah mereka kerana ia adalah lambang sikap dan akhlak ahli politik berkenaan, tegasnya.

“Fokuskan ceramah yang disampaikan pada idea ataupun gagasan yang ingin dibawa untuk menjadikan rakyat dan negara menjadi lebih baik.

“Tetapi harus diingat supaya jangan sampai janji yang dikemukakan dapat dirasakan oleh rakyat seperti mustahil kerana pengundi hari ini lebih bijak menilai berdasarkan pengalaman mereka,” katanya.

Teknik memujuk audien dengan menunjukkan kerendahan hati juga sangat membantu dalam ceramah politik.

“Tunjukkan parti itu sangat memerlukan sokongan rakyat. Jangan sama sekali memandang rendah dan menghina audien dengan menyatakan seolah-olah mereka akan terus mundur sekiranya mereka tidak memilih parti berkenaan.

“Menggunakan hujah yang baik atau dalil naqli iaitu merujuk kepada Al-Quran dan Hadis adalah dibolehkan bagi memberikan justifikasi dan pengukuhan terhadap gagasan atau manifesto parti mereka,” katanya.

Selain itu, isu perkauman dan perbezaan agama adalah sesuatu yang dilarang untuk dilontarkan kerana ia bakal membawa kepada keadaan yang tidak baik terhadap perpaduan bangsa dan negara yang memiliki masyarakat majmuk.

Penceramah politik yang baik jelasnya ialah apabila mereka dapat menyatukan rakyat yang datang dari pelbagai latar belakang.

Penyampaian yang membawa kepada perpaduan dan semangat baru kepada audien bakal memberikan undi kepada parti yang diwakili oleh penceramah tersebut, katanya.

“Rakyat pada hari ini ingin mendengar penyelesaian kepada masalah mereka yang bersifat jangka panjang.

Beliau menjelaskan, pihak berkenaan juga perlu menyakinkan mereka turut merasai bebanan serta masalah rakyat di samping membawa cadangan penyelesaian.

Mereka mahukan penyelesaian jangka panjang yang terbaik dan ini yang boleh mempengaruhi rakyat, katanya.

“Pada hari ini pencarian maklumat sangat cepat dan mudah. Bercakaplah dengan jujur dan ikhlas hati ketika menyampaikan ceramah politik untuk lebih diterima rakyat. Hentikan bercakap bohong dan angkuh yang hanya akan membawa kesan lebih buruk kepada ahli politik dan parti mereka.

“Akhirnya, perkara utama yang akan dinilai oleh rakyat ialah akhlak ahli politik berkenaan serta kemampuan mereka menjadi pemimpin yang memiliki kredibiliti yang baik serta penuh integirti,” katanya.