Azwan Ali sebak masak rendang terkenang arwah ibu

Calon Bebas Bukit Antarabangsa yang juga adik kepada Datuk Seri Azmin Ali, Azwan Ali terus menarik perhatian sejak menyampaikan hasratnya untuk bertanding semata-mata untuk ”menjatuhkan” abangnya sendiri.

Pengundi sekitar Bukit Antarabangsa didekatinya menerusi beberapa siri aktiviti dan yang paling popular ialah sesi memasak rendang untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan itu.

Bagaimanapun, dalam satu video yang viral di laman sosial, dimuatnaik oleh pengguna Facebook, Andie Reza, Azwan Ali yang juga dikenali sebagai Diva AA memasak sambil menangis.

“Diva Azwan Ali sebak. Sebab apa? Rindukan ibunya yang mengajar resipi rendang tersedap di dunia. Azwan for DUN Bukit Antarabangsa untuk PRU14? Nothing impossible gais,” tulis Andie dalam status video itu.

Azwan yang berkaca mata hitam didapati sebak sambil berkongsi pengalaman belajar memasak rendang dengan ibunya.

“Sebab ini menu arwah mak saya. Saya tak tahu daripada mana dia belajar tapi rendangnya terlalu sedap.

“Dan saya teringat saat duduk dengan arwah mak belajar buat, tapi saya bersyukur saya boleh buat.

“Semoga rohnya dicucuri. Walaupun arwah mak dah takde tetapi kenangannya itu tetap terpahat di hati jiwa. Ramai ye yang dah order….” katanya.

Artis kontroversi itu, pernah menyampaikan hasrat menghadiahkan rendang ayam dan daging kepada penduduk Bukit Antarabangsa jika memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Azwan dalam temuramah dengan FMT sebelum ini pernah akui tujuannya bertanding adalah cukup sekadar untuk pecah undi dan tidak berharap untuk mewakili mana-mana parti.

Namun sekiranya dipilih, Azwan sedia menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat jika diberikan mandat.