Minum ‘oksigen’ untuk lindungi peparu

Kalau sebelum ini botol oksigen digunakan sebagai bahan survival dalam iklan-iklan kesedaran pencemaran udara yang serius, rupanya ia benar-benar wujud.

Penduduk sebuah bandar di Mongolia iaitu Ulaanbaatar dikesan mengamalkan pengambilan “oksigen” bagi membendung sakit dan melindungi diri akibat pencemaran udara yang semakin teruk di bandar tersebut.

Oksigen itu diambil dengan meminum teh “paru-paru” dan “koktel oksigen” walaupun pakar mendedahkan tiada bukti produk itu berkesan, lapor AFP.

Ulaanbaatar pernah diumumkan sebagai ibu kota paling tercemar di dunia mengatasi New Delhi dan Beijing, dengan amaran daripada Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) kepada kanak-kanak serta ibu mengandung sebagai paling berisiko tinggi.

Pencemaran udara itu disebabkan oleh penggunaan ketuhar arang batu untuk memasak dan memanaskan rumah oleh majoriti penduduk miskin, selain kenderaan serta janakuasa elektrik.

Namun, lebih membimbangkan ialah perbuatan sesetangah pihak yang menggunakan pencemaran sebagai peluang berniaga dengan menjual produk oksigen yang kononnya boleh membantu pengguna menikmati udara bersih.

Oksigen yang didatangkan dalam tin berwarna biru dengan label “udara adalah kehidupan” dijual pada harga AS$2 (RM7.89) dan boleh diambil menggunakan straw khas.

Tin tersebut disembur pada segelas air mengubahnya menjadi minuman berbuih, manis dan penuh dengan oksigen.

Malah iklan juga menyatakan segelas air oksigen itu bersamaan 3 jam berjalan di hutan.

Selain itu, oksigen turut dijual dalam bentuk “koktel oksigen” kopi dan jus buah-buahan dengan harga AS$1 (RM3.94).

Wanita mengandung menjadi pengguna utama produk yang diimport dari Russia itu.

Ibu kepada 3 orang anak yang juga seorang akuantan, Batbayar akui meminum oksigen ketika mengandung namun tidak melihat sebarang perubahan dalam kesihatannya.

“Setiap musim sejuk kami sering membeli ubat dan ia seperti barangan runcit yang perlu dibeli selalu,” katanya.

Penduduk di bandar itu juga meminum beberapa teh keluaran syarikat Enkhjin, Ikh Taiga dan Dr Baatar yang dipercayai mampu membersihkan paru-paru.

Ketua pegawai eksekutif Dr Baatar, Baatar Chantsaldulam mendedahkan jualan teh syarikatnya meningkat 30% pada musim sejuk dan pada waktu jerebu buruk.

Bagaimanapun, ketua jabatan kesihatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Maria Neira memberitahu tiada bukti produk itu berkesan dan cara terbaik melindungi sistem pernafasan adalah mengurangkan serta mengelak terdedah dengan pencemaran.