Perang iklan dengan tawaran istimewa sempena PRU14

Menjelang musim pilihan raya, pelbagai pihak tampil menggunakan peluang untuk menjual produk dan perkhidmatan.

Laman sosial dan akhbar dibanjiri iklan promosi khas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), khususnya bagi syarikat berkenaan pengangkutan dan makanan.

FMT Ohsem menyenarai beberapa iklan di laman sosial dan akhbar yang diterbitkan sempena (PRU14) akan datang.

“Sementara anda memandu pulang untuk mengundi pada #PRU14, sila pastikan kenderaan anda dalam keadaan selamat. Mengambil kira perkara itu, kami akan menawarkan RM20 potongan harga untuk pengundi Malaysia.”

Demikian iklan dalam laman sosial oleh syarikat servis kenderaan, Serv di laman sosial yang menawarkan “harga” potongan istimewa pada musim pilihan raya ini.

“Kita menyambut harapan dan impian untuk Malaysia yang lebih baik. Dan kami mahu berkongsi cinta terhadap Malaysia dengan anda semua – RM9.05 untuk Fish & Chips Malaysia pada 9hb Mei ini!”

Itu pula tawaran restoran Fish&Co kepada para pelanggannya bagi meraikan hari mengundi Rabu depan.

Sebuah lagi syarikat pengangkutan, Eva Express menawarkan pilihan pangangkutan untuk mereka yang memilih untuk pulang mengundi pada 9 Mei nanti.

“Pilihan raya umum ke-14 akan berlangsung pada 9hb Mei 2018 (Rabu). Sila pilih Eva Express. Jika tidak, pilihan transport mana yang dapat balik rumah untuk undi?” tulisnya di laman sosial.

“PRU14 sah akan berlangsung 9 Mei ini. Kami dan rakan sekerja ingin mengurangkan beban pengangkutan dengan menawarkan pulangan wang bagi pembelian tiket bas, kapal terbang dan pembelian kad petrol.”

Antara tawarannya ialah 5% pulangan wang untuk tempahan bas menerusi easybook, 1.5% pulangan wang pembelian tiket di Traveloka serta 2% pulangan wang untuk kad hadiah Petronas di Lazada. Menarik bukan? Rasanya anda masih belum terlambat untuk buat keputusan pulang mengundi.

Hanya tunjukkan jari berdakwat selepas menunaikan hak sebagai warganegara dan restoran Dave’s Deli akan menghadiahkan anda dengan sekeping kek Brownies.

Istimewanya menjadi pengundi di Malaysia apabila ada pihak menghargai usaha anda.

“Hanya sah pada 9 Mei 2018. Pelanggan mesti tunjukkan jari berdakwat selepas mengundi untuk menuntut tawaran tersebut. Untuk makan di restoran. Terhad untuk 100 pelanggan pertama setiap outlet. Terhad kepada satu brownie untuk setiap pengundi. Sementara stok masih ada,” petik iklan itu.

The Beer Factory juga tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam iklan, tetapi pihaknya akan menawarkan siaran langsung pilihan raya ke-14 yang akan berlangsung pada 9 Mei ini. Dalam iklan bergambar, ia mempelawa pelanggannya meluangkan masa sambil menikmati siaran langsung PRU14. (Tidak halal)

“Dapatkan tiket harga tetap oleh AirAsia dan pulang ke kampung pada PRU14 ini. Lebih menarik, gunakan kod kupon FLYVOTE untuk menikmati tambahan 14% potongan! ”

Bagaimanapun, harga tetap itu hanya ditawarkan pada penerbanggan 8 dan 9 Mei dengan terhad kepada jumlah kerusi pada hari tersebut.

Kafe Second Floor Coffee House di Taman Kota Laksamana, Melaka menghantar mesej supaya pelanggannya bangkit dan membuang undi pada 9 Mei ini. Terkenal dengan seni buih kopi, iklan kafe Second Floor Coffee House turut memapar lukisan khas PRU14.

Satu lagi iklan unik sempena PRU14 ialah coklat undilah Pas yang didakwa diruqyah bagi rawatan dan kebaikan kepada pengundi.

Dikongsi di laman Facebook Pasir Puteh Today, ia dikatakan mampu mencerdaskan minda dan mengembalikan tenaga mengandungi coklat, ekstrak kismis, ekstrak buah tin, ekstrak delima, za’faran, gingko biloba habbatus sauda’, madu dan minyak zaitun.

“..Perlu dihadiahkan kpd anak2 pengundi…” tulisnya lagi.

Syarikat penerbangan Firefly menerbitkan iklan di akhbar dengan menerangkan akronim RABU (hari mengundi): Rakyat Akan Balik Undi disusuli pesanan supaya segera tempah tiket penerbangan.