Kehidupan Felda jauh lebih baik sekarang

Sepanjang perjalanan hampir sejam dari pekan Teluk Intan ke Felda Gunung Besout 2 diserikan dengan kehijauan alam sekitar dan sistem jalan berturap, menunjukkan kawasan ini tidak terpinggir daripada arus pembangunan.

Penulis yang pertama kali menjejakkan kaki ke tanah rancangan Felda berasa kagum dengan persekitaran yang ceria serta bersih ditambah dengan sapaan mesra polis bantuan yang bertugas di pintu masuk kawasan berkenaan.

Turut menarik perhatian ialah deretan rumah batu sederhana besar di kiri kanan jalan dihiasi dengan taman bunga kecil di sebelah rumah, papan tanda yang memudahkan perjalanan tanpa perlu menggunakan bantuan aplikasi Waze.

Komuniti Felda boleh diibaratkan sebagai satu keluarga besar dan daripada apa yang penulis lihat di Felda Gunung Besout 2, jelas menunjukkan semangat kerjasama penduduknya yang padu.

Kawasan perkampungan mereka seolah-olah sebuah taman di di tengah-tengah ladang kelapa sawit.

Ketika kunjungan penulis, satu perjumpaan antara peneroka Felda Gunung Besout 2 dan Felda Trolak Selatan dengan pengurus masing-masing sedang rancak diadakan di sebuah dewan orang ramai.

Meskipun hujan membasahi bumi pagi itu, namun suasana perjumpaan yang dihadiri sekitar 50 peneroka berlangsung meriah.

Pahit getir peneroka Felda

Sememangnya bukan calang-calangnya orang untuk menjadi peneroka Felda. Mereka mesti ada kesungguhan dan bersedia menghadapi pelbagai pahit getir sebelum dapat menikmati nikmat kejayaan.

Begitulah juga kehidupan generasi kedua Felda Trolak Selatan, Abdul Razak Baharuddin, 50, yang mengusahakan ladang kelapa sawit sejak 1987 di tanah seluas kira-kira 4 hektar.

Sebelum mempunyai ladang sendiri, beliau sudah banyak menempuh pahit getir kehidupan sebagai anak peneroka Felda apabila ayahnya menjadi peneroka pada 1975.

“Saya anak sulung, jadi apa-apa berkaitan ladang memang saya uruskan. Apabila saya duduk di Felda (zaman bapa) saya pun diberi tanah dan tapak rumah.

“Saya bina rumah saya sendiri. Tiada lagi hutang dan dah dapat hak milik. Alhamdullilah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada program bersama peneroka itu.

Abdul Razak, yang juga Ketua Peneroka Felda Trolak Selatan berkata beliau mungkin tidak dapat mengecapi kesenangan seperti sekarang jika tidak mengambil peluang yang wujud 30 tahun lepas.

“Kehidupan kami bertambah baik, lebih-lebih lagi dengan bermacam-macam bantuan daripada kerajaan melalui Felda, termasuk pengajian anak perempuan saya di University of Melbourne turut dibiayai biasiswa Felda.

“Anak saya sekarang kerja sebagai akauntan di Felda. Kami ini memang betul-betul keluarga Felda,” katanya berseloroh.

Felda Trolak Selatan dibuka pada 1973 dengan sekitar 601 peserta. Felda Gunung Besout yang terletak kira-kira 23km dari pekan Sungkai dibuka sekitar awal 1980an meliputi Felda Gunung Besout 1, 2, 3, 4, 5, 6 dan 7 selain mempunyai kilang sawit sendiri, Kilang Sawit Besout.

Usaha tanah ayah

Bagi anak jati Felda Gunung Besout 1, Roziah Baseran, 50, langkah beliau ‘balik kampung’ dari Langkawi, Kedah adalah tindakan terbaik kerana beliau kini mampu menjana pendapatan sehingga RM6,000 sebulan sekiranya rajin berusaha.

“Duduk Felda ni senang-lenang. Tak perlu banyak fikir. Saya balik ke sini pada 1999. Sampai sekarang saya masih usahakan tanah ayah di samping mengusahakan gerai makanan yang menjual sarapan pagi.

“Kemudahan yang orang Felda dapat selalu dicemburui oleh orang luar. Dulu semua tanah merah, sekarang jalan tar. Rumah pun rumah papan semua reka bentuk sama.

“Sekarang bila kami mampu, kami bina rumah lebih selesa,” kata Roziah yang juga menyandang jawatan Ketua Wanita UMNO Felda Gunung Besout 1.

Walaupun umum menganggap perkampungan Felda sebagai tempat yang terletak jauh di pedalaman, hari ini terdapat pelbagai kemudahan di Felda Gunung Besout termasuk bekalan air bersih, tenaga elektrik dan sistem komunikasi.

Terdapat juga kemudahan awam lain termasuk surau dan masjid, sekolah kebangsaan dan menengah balai raya, taman permainan, dan padang bola agar penduduk Felda tidak ketinggalan daripada arus kemodenan.

Sinar buat peneroka Felda

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini pernah mengatakan hanya kerajaan Barisan Nasional yang akan menjamin masa hadapan peneroka Felda.

Kata beliau itu bukan sekadar cakap kosong sahaja, malah ia diterjemahkan dalam bentuk manifesto kerajaan yang diumumkan 7 April lepas yang menjadikan peneroka Felda antara kumpulan yang beruntung melalui janji yang terkandung di dalamnya.

Dalam manifesto itu, kerajaan menawarkan insentif khas RM5,000 bagi setiap peneroka Felda selain pewujudan geran khas bagi tujuan penanaman semula.

Hutang pembelian saham FGV peneroka Felda juga akan dilupuskan, menurut manifesto itu yang turut menawarkan pelupusan hutang penanaman semula peneroka.