SPR jamin kerahsiaan proses pos undi dijaga

Undi Pos adalah kaedah yang dibenarkan Akta Pilihan Raya 1958 dan dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bagi memudahkan golongan tertentu menjalankan kewajipan mereka untuk mengundi.

Ini memandangkan bukan semua dapat pergi mengundi pada hari pengundian kerana ada ramai yang perlu bertugas, antaranya untuk memastikan proses pilihan raya berjalan lancar.

Contohnya, anggota tentera diperlukan untuk menjaga keselamatan sempadan, anggota polis pula menjaga keselamatan dalam negara sementara petugas SPR sudah tentunya mempunyai tugas masing-masing pada hari pengundian.

Selain itu, rakyat Malaysia yang bermastautin di luar negara turut diberikan hak untuk menentukan masa hadapan negara melalui proses pengundian menggunakan saluran undi pos.

Namun di sebalik usaha murni ini, ada pihak tidak bertanggung jawab yang mempertikaikan pelaksanaan undi pos serta melemparkan tohmahan kononnya undi berkenaan serta undi awal disalah guna menjadi ?undi percuma’ bagi pihak pemerintah.

Artikel ini akan mengupas proses pelaksanaan undi pos dari aspek operasi agar dapat memberi kefahaman lebih mendalam mengenai pelaksanaan kedua-dua jenis pengundian ini.

Tidak faham proses

Tuduhan terhadap proses undi pos mungkin dibuat atas pelbagai sebab. Boleh jadi ada niat tertentu di sebalik tuduhan atau pihak yang menuduh mempunyai kefahaman yang dangkal mengenai perjalanan proses pilihan raya negara.

Bernama baru-baru ini menemubual secara eksklusif Pengarah Akademi Pilihan Raya, Hasanul Isyraf Naim untuk memahami lebih lanjut proses undi pos dan undi awal.

“Sebenarnya, menjalankan proses undi pos adalah jauh lebih rumit daripada perjalanan proses pengundian biasa. Walaupun begitu, proses pengundian melalui pos tidak jauh berbeza dengan pengundian biasa, hanya ada beberapa kaedah yang berbeza diguna untuk keselesaan pengundi.

“Sementara proses pengundian awal pula sama sahaja dengan proses mengundi pada hari pengundian rasmi tetapi dilakukan beberapa hari lebih awal,” kata beliau pada awal pertemuan di ibu pejabat SPR di Putrajaya.

Ada 2 kategori

Menurut Hasanul, kemudahan mengundi menggunakan perkhidmatan pos terbahagi kepada 2 kategori besar iaitu pengundi dalam negara dan pengundi luar negara.

Kemudahan mengundi pos di dalam negara lazimnya diberi kepada anggota pasukan keselamatan, petugas media serta petugas SPR yang terlibat dalam menjalankan proses pilihan raya.

Bagaimanapun, pemilih yang mahu mengundi melalui undi pos perlu membuat permohonan rasmi kepada SPR dan pihak Suruhanjaya akan membuat tapisan untuk menentukan pengundi yang layak berbuat demikian.

Pemilih berdaftar yang tinggal di luar negara juga boleh memohon untuk mengundi pos. Pemohon sebelum itu mesti mendaftarkan diri sebagai pemilih dan tinggal di mana-mana negara di luar Malaysia kecuali Selatan Thailand, Singapura, Brunei atau wilayah Kalimantan, Indonesia.

Pemilih juga mesti pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang daripada 30 hari dalam tempoh 5 tahun sebelum tarikh pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Permohonan undi pos bagi dalam negara ditutup 5 hari sebelum hari penamaan calon dan bagi pengundi luar negara, pada hari Parlimen dibubarkan.

Untuk nota, permohonan undi pos bagi pengundi luar negara dibuka sejak 23 Jan lepas.

Proses undi pos

Kertas undi pos akan mula dihantar kepada pemilih beberapa hari selepas hari penamaan calon. Ini adalah untuk memberi peluang kepada SPR menyiapkan kerja mencetak kertas undi terlebih dahulu.

Seperti mana proses pengundian biasa, pengeluaran kertas undi bagi pengundi pos dibuat di hadapan ejen semua parti politik yang bertanding. Setiap ejen diberi salinan senarai nama pengundi pos untuk rujukan mereka.

Sebaik sahaja kertas undi dikeluarkan, nama para pengundi pos akan dipotong daripada daftar pemilih. Proses ini juga dibuat di hadapan dan dengan pemantauan ejen mengundi parti politik yang bertanding.

Justeru tidak timbul isu pengundi pos boleh mengundi 2 kali seperti yang dibangkitkan sesetengah pihak. Pemotongan nama yang dilakukan tidak lagi membolehkan mereka mengundi selepas kertas undi dikeluarkan untuk undi pos.

Selesai mengundi, pemilih akan menghantar sampul undian mereka yang dialamatkan terus ke pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya di kawasan pengundian masing-masing.

Mengira undi pos

Proses pengiraan undi juga dilakukan dengan prosedur ketat. Sama seperti proses mengeluarkan kertas undi, pembukaan sampul undi pos juga dibuat dengan kehadiran ejen mengira undi setiap parti yang bertanding di sesebuah kawasan.

“Kertas undi yang keluar kita rekod, kertas undi yang masuk pun kita rekod. Jadi tak boleh tiba-tiba ada tambahan kertas undi sebab semua butiran sudah disimpan rapi,” kata Hasanul.

Proses pembukaan kertas undi hanya boleh dibuat pada hari mengundi rasmi. Dalam kes PRU 14, ia adalah pada 9 Mei nanti.

Setiap undi pos yang diterima akan mempunyai 2 sampul kecil (sampul A dan sampul B) yang terkandung dalam satu sampul besar. Sampul A berisi kertas undi dan sampul B diisi dengan butiran pengundi.

Di hadapan ejen, borang butiran pengundi diperiksa untuk dipastikan betul dan lengkap. Antara butiran yang diperiksa adalah nombor siri kertas undi yang dipulangkan (tertulis pada sampul) dan butiran peribadi diisi lengkap dengan tandatangan beserta saksi.

Hanya jika kedua-dua perkara ini disahkan betul barulah kertas undi yang dihantar akan dimasukkan ke dalam dulang pengiraan kertas undi. Jika tidak, kertas undi itu akan ditolak, bahkan sampul A tidak akan dibuka sama sekali. Ia akan dikepilkan bersama borang yang tidak lengkap dan diasingkan daripada proses pengiraan undi.

Kerahsiaan undi terjaga

“Kalau kita padankan borang butiran pengundi dengan sampul A berisi kertas undi, pasti kita boleh tahu siapa mengundi apa. Sebab itulah kita tidak buat begitu. Borang butiran pengundi yang sudah disahkan akan terlebih dahulu disimpan dalam sampul khas, dimateri dan diletak jauh daripada tempat mengira undi. Jika mahu, ejen mengira undi boleh meletakkan tanda tangan di sampul itu sebagai tanda pengesahan daripada pihak mereka.

“Harus diingat pada waktu ini, sampul A yang mengandungi kertas undi belum pun dibuka dan sudah bercampur. Tiada siapa yang tahu sampul apa dimiliki siapa. Sekali lagi di hadapan ejen mengira undi barulah sampul dibuka dan proses pengiraan undi dimulakan,” jelas Hasanul.

Kaedah yang digunakan SPR ini memastikan kerahsiaan undi pemilih terpelihara dan dalam masa sama memberi peluang ejen mengira undi memastikan tiada sebarang unsur penipuan berlaku. Mereka ini adalah wakil parti-parti yang bertanding yang diberi kepercayaan untuk hadir dan melihat sendiri keseluruhan proses pengiraan undi.

Ejen mengira undi boleh membuat bantahan dengan memfailkan petisyen pilihan raya sekiranya mendapati ada sebarang bentuk perbuatan culas sepanjang proses mengira undi dilaksanakan.

Menurut Hasanul, proses mengira undi pos yang dilihat remeh, tetapi memang perlu dibuat sedemikian untuk memastikan ketelusan dalam proses pengiraan undi.

Justeru tidak hairanlah ia memakan masa yang lebih panjang berbanding pengiraan undi biasa dan hasil kiraan undi pos biasanya diketahui lebih lewat daripada kiraan undi di saluran-saluran mengundi.