Kerajaan penuhi keperluan rumah generasi muda Felda

Memiliki rumah sendiri semestinya menjadi impian setiap orang dan generasi muda Felda juga tidak terkecuali.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini juga, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri giat memperkenalkan pelbagai program perumahan untuk membolehkan rakyat memiliki rumah sendiri.

Antara skim inisiatif skim perumahan berkenaan termasuk Program Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Pertamaku, Rumawip, Rumah Mesra Rakyat, Rumah Pr1ma, Rumah Selangorku dan Perumahan Mampu Milik.

Di pihak Felda, sebagai organisasi membangun komuniti, ia juga tidak mahu ketinggalan untuk menyediakan kemudahan perumahan termasuk untuk generasi muda Felda. Kesungguhan ini boleh dilihat dengan perlaksanaan Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang dimulakan sejak beberapa tahun lepas.

Daripada Felda, untuk orang Felda, projek ini dibuka khusus kepada warga Felda sahaja.

Pada waktu ini, PGBF sedang mengalami transisi pengurusan dan perlaksanaan melalui kerjasama erat antara rangkaian agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sebelum ini, Felda menanggung sendiri semua beban menjalankan projek PGBF, seperti mengeluarkan modal sendiri dan membuka tender untuk kerja pembinaan rumah. Dalam masa yang sama rumah-rumah berkenaan dijual pada harga subsidi.

Cara kerja baru PGBF mengurangkan beban Felda kerana ia melibatkan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti pihak berkuasa tempatan, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) serta institusi kewangan.

Felda menjalin kerjasama dengan semua pihak untuk memastikan kejayaan projek demi kepentingan bersama.

Di bawah kerjasama ini, kerajaan negeri dan Felda memainkan peranan sebagai penyedia tanah tapak projek. GLC pula mengambil tugas membina rumah, disokong Felda yang mengambil tanggungjawab membina infrastuktur seperti jalan raya, bekalan elektrik serta air di samping kemudahan awam lain.

Pada pembentangan Bajet 2018, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM164 juta kepada Felda untuk menjayakan projek di bawah PGBF.

PGBF diharap dapat memanfaatkan tanah kosong milik Felda di tanah rancangan dengan cara yang teratur untuk kebaikan jangka panjang warga Felda.

Harga rumah yang ditawarkan adalah RM90,000 bagi rumah bersaiz 1,000 kaki persegi.

Manakala bagi Rumah Mampu Milik (RMR-Felda) yang dibina dengan kerjasama SPNB dengan keluasan 800 kaki persegi dijual dengan harga RM55,000 selepas ditolak RM20,000 subsidi kerajaan (Harga sebenar ialah RM75,000).

Setiap keluarga peneroka layak untuk memohon satu unit rumah.Generasi muda Felda berumur 18 tahun dan ke atas yang berkahwin layak untuk memohon rumah PGBF.

Pemohon PGBF juga perlu memenuhi syarat bermastautin dalam atau berhampiran tanah rancangan, pendapatan bulanan tidak melebihi RM3,500, tiada rekod jenayah serta tidak muflis/bankrap.

Tambah menarik lagi, mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau penyata pendapatan bulanan, boleh memohon rumah PGBF melalui kemudahan ‘sewa-jual’.

Melalui kemudahan ini, anak Felda yang layak ditawarkan pemilikan rumah melalui sewaan selama 60 bulan (5 tahun). Pada tahun terakhir sewaan barulah surat tawaran membeli rumah diserahkan kepada pemohon.

Melalui cara ini, pemohon dapat menduduki rumah baru dengan lebih awal dan dapat menggunakan tempoh 5 tahun sepanjang tempoh penyewaan untuk memperbaiki penyata pendapatan bagi memohon pembiayaan perumahan.

Kos sewaan juga ditetapkan pada kadar yang amat berpatutan. Rumah hujung disewakan dengan kadar RM500 sebulan, rumah tepi pada kadar RM400 sebulan sementara rumah tengah disewakan dengan harga RM 300 sahaja sebulan.

Tidak boleh dinafikan perlaksanaan PGBF di peringkat awal sedikit terganggu kerana lewat disiapkan. Walau bagaimanapun, momentum positif sudah mula dapat dilihat.

Pada pertengahan tahun 2017, 106 unit rumah sudah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada pemilik masing masing iaitu di Tanah Rancangan Felda Padang Piol di Jerantut, Pahang (26 unit) dan Felda Sungai Tiang di Pendang, Kedah (80 unit).

Pembangunan PGBF terbahagi kepada 2 fasa pembinaan. Fasa pertama melibatkan pembinaan 8,454 unit rumah dan fasa kedua sebanyak 11,546 unit rumah.

Pembinaan 8,454 unit rumah dalam fasa pertama melibatkan 38 lokasi. Padang Piol dan Sungai Tiang termasuk dalam lokasi pembangunan fasa pertama.

Untuk memastikan ketelusan dalam pemilihan pemohon rumah PGBF, setiap lapis pengurusan daripada Pegawai Penyelia Rancangan sehingga kepada Pengarah Besar Felda akan memainkan peranan dalam panel penilaian bagi memastikan hanya pemohon yang benar-benar layak diberikan peluang memliki rumah PGBF.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri tempatan dan Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) turut dilibatkan sebagai panel penilai untuk memastikan ketelusan dalam pemilihan.

Kesimpulannya, meskipun menghadapi sedikit kesulitan di peringkat awal, PGBF kini berjalan lancar melalui kerjasama pintar yang baharu dibina antara Felda dengan pihak ketiga seperti kerajaan tempatan dan GLC.

Apa yang penting adalah nasib generasi baharu Felda terus dibela melalui program dan projek yang akan memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti Felda seluruhnya.