
Tinggal kurang 24 jam sahaja lagi untuk pilihan raya, jari individu yang layak mengundi akan dicelup dengan dakwat kekal yang difahamkan mempunyai kemampuan bertahan selama 20 hari.
Tetapi, tahukah anda di mana dakwat kekal yang bakal digunakan itu dihasilkan?
Mungkin ramai tidak tahu atau tertanya-tanya, memandangkan dakwat ini sahaja menelan peruntukan besar.
Pengarang dan bekas wartawan yang aktif berkongsi pelbagai maklumat termasuk pengalaman beliau dengan ahli politik di laman Facebook, Syahril A Kadir turut berkongsi mengenai kilang yang menghasilkan dakwat kekal.

Sambil memuatnaik beberapa gambar, Syahril berkata, dakwat kekal tersebut dihasilkan di sebuah kilang, Mysore Paints and Varnish Ltd, di Karnataka, India.
“SPR sudah tempah 100,000 botol dan kesemuanya berharga hampir RM5 juta. Aku difahamkan semuanya dah sampai pun ke Malaysia. Lepas dicalit di jari, dalam 40 saat keringlah dakwat tu,” tulisnya di status tersebut, mengakui memperoleh maklumat tersebut daripada kenyataan SPR.

Namun ada lebih banyak lagi info mengenai syarikat itu. Ia satu-satunya kilang menghasilkan dakwat kekal pilihan raya untuk seluruh India selain menerima tempahan dari negara seperti Malaysia, Kemboja, Thailand, Nigeria, Afrika Selatan dan Nepal.
Botol dakwat yang dihasilkan untuk pasaran Malaysia didatangkan dalam botol 60ml di mana 5ml dakwat boleh digunakan kepada 300 pengundi.

Dianggarkan 300 juta pengundi pernah menggunakan dakwat yang dihasilkan oleh syarikat ini dalam tempoh 45 tahun. Pasaran terbesarnya? Tentu sekali, India.
Sebenarnya, syarikat ini dimiliki dan beroperasi sepenuhnya bawah kerajaan Karnataka di bawah pengawasan bekas Datuk Bandar Raya Mysore, Anantha.
Dakwat yang dipercayai sudah pun berada di Malaysia dan sedang tunggu anda semua yang layak tunaikan tanggungjawab 5 tahun sekali ini.