Undi, jangan tak undi dan siakan hak anda

“Nenek saya ni penyokong tegar Barisan Nasional (BN),” kata rakan sekerja sambil menunjukkan gambar neneknya yang duduk di samping rakan yang sudah 60 tahun tidak berjumpa. Rakannya juga penyokong tegar BN.

Nenek rakan saya ini, Chah Abdullah, berusia sekitar 85 tahun dan pastinya sudah melalui pelbagai pahit getir kehidupan. Dilahirkan sebelum negara merdeka, membesar ketika zaman penjajahan Inggeris dan pendudukan Jepun di Tanah Melayu, begitu banyak kisah yang mungkin dipendam begitu sahaja.

Ibu tunggal ini membanting tulang di bendang di samping menganyam tikar untuk membesarkan anak tunggalnya dan tidak pernah berkahwin lagi sehingga sekarang.

Hidup sepanjang 6 dekad pemerintahan BN pastinya banyak meninggalkan kesan yang memberi manfaat terhadap kehidupan nenek rakan saya, walaupun ada ketikanya serba-serbi kekurangan, dan rakannya sehingga menyebabkan pendirian mereka kekal menyokong parti pemerintah tidak pernah goyah.

Pun kedua-duanya dikhabarkan tidak sabar-sabar menunggu tarikh 9 Mei iaitu hari pengundian untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat walaupun usia sudah di penghujung senja.

Berlainan pula dengan kisah seorang rakan saya yang mengambil keputusan untuk bercuti ke luar negara dan tidak akan sempat balik ke tanah air untuk mengundi pada PRU14.

Beliau sedikit pun tidak berasa terkilan atau sedih kerana tidak dapat menggunakan kuasa mengundi yang ada di tangannya.

“Tak mengapa. Calon yang bertanding tu pasti menang,” kata kawan saya penuh yakin.

Kalau ramai yang berpendirian seperti rakan saya ini, alamatnya berkuranganlah undi yang boleh diraih calon yang bertanding. Setiap satu kertas undi itu amat mahal nilainya. Apatah lagi satu undi boleh membezakan antara menang dan kalah!

Kalau ada yang ambil sikap ‘tidak kisah’ untuk mengundi, bagaimana pula halnya dengan yang boleh berkata diri mereka ‘atas pagar’. Masih tidak tahu siapa yang mahu dipangkah semasa hari pengundian yang tinggal beberapa hari sahaja.

Tak pasti kenapa begitu sedangkan ini bukan PRU yang pertama bagi mereka, tambahan jika yang berkata itu pun usia sudah melangkau gerbang warga emas.

Mungkin kerana terlalu banyak yang didengar dan dibaca tambahan dengan penularan maklumat dalam media sosial, gelanggang penyebaran berita nombor satu, dan ada kalanya berita palsu.

Justeru bertepatan sekali apabila kerajaan menguatkuasakan Akta Anti-Berita Tidak benar yang berkuatkuasa 12 April lepas. Akta itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 6 tahun dan denda RM500,000 jika sabit kesalahan.

Berkenaan orang yang ‘atas pagar’ ini, saya tertanya-tanya apa lagi yang tidak cukup untuk mereka mempunyai pendirian seperti Nek Chah dan bulat hati menentukan calon yang mahu dipilih.

Silap haribulan orang seperti ini boleh tidak pergi mengundi atau akan menyebabkan ‘undi rosak’.

Sebelum ini ada laporan pihak yang menularkan kempen undi rosak menerusi media sosial yang ditujukan kepada golongan muda ‘agar merosakkan undi pada PRU akan datang’. Ada yang menyifatkan langkah itu sebagai tanda protes terhadap perkembangan politik negara sejak PRU13.

Tindakan yang tidak bertanggungjawab itu diharap tidak menjadi kenyataan dan mereka yang layak mengundi tidak akan mensia-siakan hak mereka untuk pergi mengundi pada 9 Mei ini. Jika tidak mereka terpaksa menunggu 5 tahun lagi untuk berpeluang menggunakan hak mengundi yang eksklusif ini.

PRU14 dianggap paling sengit dalam sejarah PRU negara ekoran daripada pelbagai isu perkembangan politik mutakhir. Mengikut perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), terdapat 14,968,304 pengundi berdaftar untuk PRU14.

Golongan pengundi muda yang layak mengundi pada PRU14 dianggarkan 5 juta orang berbanding sekitar 3 juta pada PRU13.

PRU14 juga menyaksikan pertandingan untuk merebut 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), tidak termasuk Sarawak yang mengadakan Pilihan Raya Negeri pada 2017.

Selamat mengundi kepada semua yang layak mengundi, tolong jangan sia-siakan hak anda yang hanya datang sekali dalam 5 tahun ini. Jangan juga mengundi mengikut emosi. Ingatlah, apa yang anda pangkah adalah penentu corak pentadbiran kerajaan untuk lima tahun akan datang!

(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis, Melati Mohd Ariff dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA dalam apa yang diperkatakan oleh penulis)