Selain Dr Mahathir, siapa masih mengancam di usia 92?

Tun Dr Mahathir Muhammad melakar sejarah sebagai perdana menteri tertua di dunia yang diundi rakyat Malaysia. Berada dalam kuasa sepanjang 22 tahun, dari 1981 hinggalah meletak jawatan pada 2003, kini kembali selepas 15 tahun berehat. Pada usia 92 tahun, beliau masih tajam dan aktif melibatkan diri dengan permainan politik.

Malah tindakannya menduduki kerusi perdana menteri sebagai pembangkang menjadikannya buruan media termasuk antarabangsa. Bukan itu sahaja, beliau juga dijulang sebagai faktor di sebalik pilihan raya yang paling besar dan berpengaruh.

Tahap kesihatan Dr Mahathir sememangnya diiktiraf ketahanannya.

Selain Dr Mahathir, ramai lagi “warga emas” membuktikan kemampuan mereka dalam bidang dan kemahiran masing-masing pada usia emas.

FMT Ohsem senaraikan beberapa warga emas yang mengubah persepsi umum mengenai diri mereka pada usia 92 tahun!

1. Terima Ijazah lanjutan pada usia 92

Seorang warga emas wanita dari Carolina Selatan menggenggam ijazah lanjutan pada usia 92 tahun, sekali gus membuktikan usia bukan penghalang kepada impiannya.

Annie Dillard ditemui lengkap berpakaian graduan untuk majlis graduasi di Kolej Midlands Technical bagi menerima Ijazah lanjutan dalam pengajian Seni Liberal. Ibu tunggal kepada seorang anak yang memiliki perniagaan salun menerima ijazah pertama pada 1960 dan menyambung pengajian lanjutan 5 tahun lalu dan berkata akan terus belajar.

2. Ratu Elizabeth tunggang kuda lawat cicit

Ratu Elizabeth II berusia 92 tahun tetapi beliau tidak kelihatan melayan usia tuanya. Malah beliau menghayatinya dengan menyambut kedatangan cicitnya yang ke-3.

Menariknya, beliau dikatakan menunggang kuda sekitar istana Windsor untuk melawat cucunya, Putera William dan isteri, Kate Middleton bagi meraikan kedatangan waris baharu itu. Bukan itu sahaja, beliau juga baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya dengan konsert yang disertai selebriti antarabangsa seperti Tom Jones, Kylie Minogue, Sting, Ladysmith Black Mambazo dan Shaggy.

3. Aktif sukan angkat berat

Berapa banyak berat yang kita boleh angkut pada usia 92 tahun? Evelyn Kilgore berusia 92 tahun ini merupakan penggiat sukan angkat berat yang masih aktif dan terus menjadi peserta yang kompetitif.

Kilgore berkecimpung dalam sukan ini 5 tahun lalu dan kini mula menyertai sukan ini di peringkat antarabangsa. Menjadi peserta paling tua, kepakaran Kilgore ialah “deadlift”. Memandangkan tiada pencabar lain dari katagori usianya, Kilgore menang mudah pelbagai kejohanan sukan tersebut. Sekarang, apa alasan anda?

4. Nenek pakar undang-undang di universiti

Terus menyumbang kepakaran dalam bidang perundangan fidusiari regulasi di Jabatan Buruh, Amerika Syarikat, Professor Perundangan di Universiti Boston, Tamar Frankel digelar sebagai nenek bijak.

Pada usia 92 tahun, Frankel dikatakan masih kuat dan khidmatnya amat diperlukan di universiti yang mana beliau menyumbang 5 hari seminggu mengajar 2 kursus. Beliau juga masih dirujuk untuk pelbagai kes membabitkan undang-undang buruh di negara itu.

5. Nenek taruh hati pada Steve Harvey

Pelakon Black Panther, Dorothy Steel kelihatan penuh bersemangat dan rancak dalam rancangan Steve Harvey Show baru-baru ini. Beliau yang berusia 92 tahun itu memainkan watak orang tua puak dalam filem blockbuster Black Panther merakam video menyatakan keinginan berjumpa pengacara terkenal Steve.

“Saya suka rancangan anda dan saya mahu menyertainya,” katanya dalam video itu. “Jangan berlengah, jangan meramal. Holla kepada saya!” katanya dalam rakaman yang viral dan sampai kepada Steve. Dorothy mula berlakon 4 tahun lalu dan pada usia ini beliau menjadi salah seorang pelakon dengan pulangan yang tinggi sepanjang zaman.

6. Jurulatih bola sepak bergaya tapi tegas

Warga emas wanita ini menjadi jurulatih bola sepak pilihan kanak-kanak dan pemain muda di Lima, Peru walaupun usianya mencecah 92 tahun. Penuh bergaya dengan suara lantang memberi arahan tetapi dalam nada tegas, Maria Angelica Ramos memenangi pelbagai kejohanan pertandingan bola sepak di Los Olivos, Lima.

Dikenali sebagai “The Old Lady”, beliau menjadi jurulatih sejak setengah dekad yang lalu. Setakat ini beliau sudah pun melatih lebih 1,000 pemain dan terus melatih lebih ramai melibatkan pelbagai latihan tahap tinggi.

7. Diiktiraf PBB kerana aktif ajar tai chi

Mengajar Tai Chi Chuan sejak 30 tahun di Amerika Syarikat dan Kanada, Doreen Hynd menerima pengiktirafan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada usia ke-92.

Beliau yang masih aktif mengajar seni pertahankan diri dan kesejahteraan ini akui ia sebagai amalan yang membawa pelbagai manfaat kepada tubuh dan kesihatan secara menyeluruh. Hynd ditawarkan dengan anugerah penghormatan khas mempromosi tai chi pada usia ini.