Tabiat buang sampah PPR menjangkaui isu kesedaran sivik

(Gambar Facebook)

Insiden seorang remaja maut dihempap kerusi yang dicampak dari tingkat atas sebuah flat PPR di Pantai Dalam 15 Jan lepas nampaknya seperti tidak meninggalkan kesan di hati khususnya penghuni masyarakat itu.

Ini kerana, sikap pengotor serta kurang sopan segelintir penduduk PPR yang masih meneruskan tabiat lama mereka.

Awal April lepas, peti televisyen dilaporkan seberat kira-kira 10kg dibuang dari tingkat atas pangsapuri Taman Seri Intan, Ampang, Selangor. Ia menghempap sebuah kereta Perodua Myvi yang diletakkan di kawasan letak kenderaan flat berkenaan sehingga menyebabkan kerosakan agak teruk.

Biarpun insiden kali ini tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kematian, namun persoalan paling penting ialah sampai bila situasi sebegini harus berlaku?

Malah, jika ia masih berterusan, tidak mustahil insiden sedemikian boleh melibatkan kematian!

“Masalah mencampak sampah, objek di rumah PPR atau flat adalah masalah sangat serius dan tidak boleh dipandang ringan lagi. Ia memerlukan penyelesaian secara holistik dan bukan faktor individu semata-mata.

“Ramai menuding jari dengan berkata sikap keji ini berlaku kerana kurangnya kesedaran sivik segelintir penduduk. Mereka bercakap sedemikian kerana tidak tahu apa sebenarnya berlaku di kawasan berkenaan.

“Sedangkan sikap membuang sampah sesuka hati ini melibatkan banyak faktor lain,“ demikian kata Presiden Pertubuhan Pembangunan Penduduk Malaysia, Profesor Dr Fatimah Daud dalam satu temubual bersama Bernama baru-baru ini.

Sebenarnya beliau bukanlah nama asing dalam penyelidikan berkaitan perpaduan dan kesejahteraan hidup dalam kalangan penduduk PPR mahupun golongan yang kurang berkemampuan sekitar Lembah Klang atau luar dari kawasan berkenaan.

Benarkah mereka kurang kesedaran sivik?

Pembabitan Fatimah dalam membangunkan ekonomi serta mempertingkatkan taraf kualiti kehidupan komuniti PPR bermula sejak 2009 lagi ketika berkhidmat sebagai pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya (UM) dan kemudian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), juga di Jabatan Sosiologi dan Antropologi.

Malah, kejayaan paling besar yang dilakukannya ialah mencari titik penyelesaian isu perpaduan antara penduduk kaum Melayu dan India di Blok 9 dan Blok 10 PPR Desa Mentari, Petaling Jaya, yang diuji dengan pelbagai isu sebelum itu menerusi penubuhan Klinik Sosial.

Walaupun sudah bersara, beliau masih gigih meneruskan usahanya untuk membantu golongan itu menerusi pertubuhan yang dikendalikannya.

“Sepanjang kajian, saya melihat dan menyelami sendiri kehidupan mereka. Hampir setiap hari berada Di Desa Mentari, dari pagi hingga ke malam serta beberapa rumah PPR di kawasan lain dan saya mula faham mengapa mereka bersikap sedemikian rupa.

“Dari satu sudut, saya tidak menafikan mentaliti segelintir penduduk yang masih kurang kesedaran sivik kerana mengamalkan budaya setinggan. Ini kerana, mereka sudah terbiasa mencampak segala jenis sampah ke luar tingkap ketika tinggal di kampung dahulu.

“Oleh itu, saya setuju supaya diadakan lebih banyak kempen kesedaran. Tetapi, kalau sekadar tertumpu kepada kempen tingkatkan sivik individu semata-mata, hal ini tidak akan selesai kerana faktor persekitaran juga perlu diambil penekanan jitu,” kata Fatimah.

Faktor persekitaran

Menjelaskan lebih lanjut mengenai ‘faktor persekitaran’, Fatimah berkata kemudahan seperti tong sampah yang agak sederhana saiznya di rumah bertingkat kos rendah serta sistem pengurusan pengutipan sisa tidak sistematik adalah antara punca utama mengapa kejadian melontar sampah masih terus berlaku.

Kedengaran agak remeh, namun keadaan itu sebenarnya sangat memberi impak besar dalam kehidupan komuniti berkenaan untuk menikmati kehidupan lebih selesa dan berkualiti.

“Mereka juga sebenarnya ingin hidup bersih seperti orang lain. Kalau tidak, masakan setiap kali aktiviti gotong-royong yang dijalankan oleh saya sebelum ini di beberapa PPR berjaya dilakukan apabila ramai komited membersihkan kawasan mereka.

“Tetapi, selepas 2, 3 hari jadi kotor balik. Saya tanya mengapa buat lagi dan jawapan mereka, sama sahaja keadaannya kalau campak sampah ke luar rumah atau buang di tepi koridor mahupun tangga dengan buang di tempat disediakan.

“Bagi mereka, persekitaran tetap kotor kerana tong sampah disediakan pun sudah penuh dengan pelbagai jenis sisa sehingga melimpah keluar, berterabur seluruh kawasan. Situasi ini membuatkan penduduk tidak ada motivasi untuk jaga kebersihan.

“Ini kerana, penduduk ramai tetapi tong sampah kecil dan sampah pula ada sehingga beberapa hari tak dipungut, menyebabkan satu kawasan berbau busuk dan menggalakkan pembiakan tikus,” katanya.

Keadaan bertambah buruk apabila kemudahan lif yang disediakan rosak, sekali gus menyukarkan mereka yang tinggal di aras tinggi untuk turun semata-mata untuk membuang sampah.

Salah guna kusa AJK Rukun Tetangga

Dalam pada itu, Fatimah turut mendapati penyalahgunaan kuasa oleh segelintir ahli jawatankuasa Rukun Tetangga (RT) di sesebuah kawasan perumahan bertingkat kos rendah sebagai satu lagi punca utama mengapa kejadian mencampak sampah dari tingkat atas terus berleluasa.

Ia berdasarkan hasil daripada beberapa kajian yang dijalankan beliau sebelum ini, jelas menunjukkan berlakunya kepincangan kuasa oleh individu tertentu dalam menguruskan kemudahan yang disediakan kerajaan untuk manfaat semua penduduk.

Hal ini membuatkan segelintir penduduk memberontak dan antara satu caranya melepaskan tekanan adalah melalui pembuangan sampah dari tingkat atas.

“Saya tidak menafikan ada ahli jawatankuasa (AJK) Rukun Tetangga kawasan perumahan kos rendah yang bertanggungjawab dan menjalankan kewajipan amanah diberikan sebaiknya.

“Bagaimanapun, masih ada sesetengah kawasan yang gagal berbuat demikian dan hanya mementingkan diri. Boleh dikatakan, hampir keseluruhan kemudahan seperti dewan, futsal dan pemberian sumbangan akan dimonopoli oleh AJK Rukun Tetangga, keluarga dan kenalan mereka sahaja.

“Penduduk lain dihalang menggunakan kemudahan yang ada. Malah, pernah berlaku di sebuah perumahan kos rendah AJK RT menghalau penduduk ketika menggunakan dewan,” jelas Fatimah.

Penyalahgunaan kuasa oleh segelintir individu RT ini sedikit sebanyak menyemai rasa benci penduduk kepada pihak pengurusan. Ini kerana, mereka merasakan diri dilayan seperti sampah, terpinggir, sekali gus menjadi penyebab tidak menghargai kemudahan yang ada.

Perlu pendekatan lebih holistik

Kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan di kawasan perumahan PPR seperti surau, dewan, kelas Tabika Kemas, klinik kerajaan dan Pusat Internet kerajaan.

“Apabila disekat untuk menggunakannya, mulalah berlaku kegiatan vandalisme merosakkan lif serta menconteng dinding dan mengotorkan kawasan persekitaran dengan niat sengaja menyusahkan penduduk lain.

“Dari sudut psikologi, perlakuan seperti mencampak sampah dari atas adalah antara ekspresi kekecewaan mereka,” katanya.

Justeru, amat penting segala permasalahan ini diambil perhatian jitu selain daripada usaha mempertingkatkan kesedaran sivik penduduk semata-mata. Rombakan AJK RT perlu dilakukan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar amanah sahaja memegang jawatan berkenaan.

“Bagi menyelesaikan perihal ini, kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan. Ini kerana, kerajaan sudah melakukan yang terbaik untuk penduduk termasuk pemasangan unit kamera litar tertutup (CCTV), pemasangan jaring keselamatan dan turun padang mendengar sendiri permasalahan mereka.

“Sudah tiba masanya, penduduk melalui pucuk pimpinan RT yang bertanggungjawab perlu memainkan peranan mereka sebaik-baiknya. Sebenarnya, isu kekurangan tong sampah, persekitaran, boleh diselesaikan melalui RT.

“Dengan adanya RT yang kuat dan mendapat kepercayaan penduduk, mereka boleh membuat kutipan dana dalam jumlah kecil setiap unit rumah untuk menambah tong sampah baru mahupun bersama-sama meningkatkan kualiti kesejahteraan hidup,” katanya.

Bagi Fatimah, ia bukanlah perkara mustahil. Ini kerana, beliau sudah melihat beberapa kawasan PPR tertentu yang berjaya mempertingkatkan keharmonian hidup dan kesejahteraan persekitaran menerusi pucuk pimpinan RT yang bertanggungjawab.