Artis dikutuk peraga baju Melayu ‘ibu menyusu’

Dah nak hari raya, macam-macam fesyen yang ditawarkan kepada pengguna, apatah lagi pada zaman internet, hampir semua jenis fesyen mudah diakses dengan hanya memetik jari.

Namun, apabila fesyen yang diperkenal berbunyi pelik atau tidak kena dan sebagainya, internet, khususnya laman sosial juga menjadi medan untuk netizen saling menyindir.

Baru-baru ini, satu koleksi baju Melayu lelaki dikecam netizen kerana rekaannnya kelihatan seperti baju ibu menyusukan anak.

Dalam beberapa posting gambar, seorang netizen mempersoal model dan pelakon, Erry Putra atau nama sebenarnya Mohd Razlan Hamzah @ Ahmad kerana memuat naik gambar bajunya di laman Twitter, yang kemudiannya viral selepas rekaannya yang kelihatan seperti baju menyusu.

Erry sebenarnya berkolaborasi dengan sebuah butik, UA Butik bagi produk baju Melayu yang diperagakan itu sebagai koleksi Aidilfitri tahun ini.

“Saya perasan beberapa foto saya dan adik tiri saya menggayakan baju keluaran butik berkenaan mula viral di laman sosial.

“Netizen mengecam baju itu menyerupai pakaian yang direka khas untuk kemudahan ibu menyusukan bayi mereka,” katanya kepada sebuah portal sambil akui gembira menjadi “bahan netizen” walaupun dikritik.

Jejaka berusia 40 tahun dari Kelantan itu juga akui semua sindiran itu sebenarnya meningkatkan hasil jualan.

Sebenarnya, baju Melayu itu direka dengan mengambil kira rekaan baju 3 tradisi di Malaysia iaitu Baju Melayu daripada budaya Melayu, kurta dari budaya India dan samfu dari budaya Cina.

Menurut laporan itu lagi, terdapat 20 warna pilihan dengan 3 rekaan yang berbeza bagi koleksi itu.

Cara pembelian pula sama ada secara dalam talian atau mengunjungi terus UA Butik di TTDI Jaya, Shah Alam.