Menjelang sambutan Hari Raya, memang tidak dapat dinafikan wanita akan sibuk mahu bersolek ikut citarasa masing-masing.

Khusus kepada wanita, kalau anda memilih untuk bersolek meraikan Hari Raya, jangan lupa mengelap dan mencuci wajah dengan bersih sebelum masuk tidur.

Saintis mendapati tidur dengan alat solek tertentu boleh membawa bahaya kepada kesihatan anda dan ini khususnya melibatkan alat solek mata iaitu maskara atau pelentik dan penebal bulu mata.

Seorang wanita di Sydney, Australia, dikesan dijangkiti kuman mata selepas tidur tanpa membersihkan sisa maskaranya.

Wanita itu, Theresa Lynch, 50-an terpaksa dikejarkan ke hospital selepas dakwat maskara terkumpul selama beberapa tahun di bulu mata menyebabkan jangkitan mata yang teruk.

Menurut laporan, Theresa mengamalkan penggunaan maskara untuk lebih 25 tahun dan tidak mengamalkan cara pembersihanbetul sebelum masuk tidur.

Dakwat maskara dipercayai berkumpul di sekitar bahagian dalam kelopak matanya sehingga menyebabkan kerengsaan serius.

Doktor menghabiskan hampir 2 jam untuk pembedahan menyingkir dakwat maskara di dalam matanya, meninggalkan bahagian kornea rosak untuk selamanya.

“Penting untuk memastikan solekan anda dibersihkan setiap malam sebelum tidur. Saya tidak sepatutnya membiarkan ia seteruk ini,” kata Theresa kepada Daily Mail.

Menurut pakar oftalmik yang merawat Theresa, Dr Dana Robaei, jangkitan mata itu boleh menyebabkan wanita itu buta sekiranya tidak dirawat.

Oleh itu, penting untuk wanita dan lelaki yang menggunakan alat solek terutama sekali pada bahagian sensitif seperti mata untuk membersih sebaiknya.

Berikut beberapa tips menanggalkan maskara secara selamat.

  • Gunakan kapas solekan atau tisu pembersih ditekap dengan cecair pembersih solekan (make-up remover). Sebaiknya gunakan pembersih tanpa alkohol di bahagian mata untuk elak kulit menjadi kering.
  • Anda juga boleh gunakan jeli petroleum bagi menggantikan pembersih solek. Tekap bulu mata dengan jeli dan singkir menggunakan kapas yang direndam dalam air suam.
  • Minyak bayi, minyak biji anggur, minyak kelapa dan jojoba juga sihat dan selamat untuk membersihkan maskara kalis air.
  • Sesekali rehatkan kulit mata anda daripada sebarang solekan mata.