Dah periksa ‘checklist’ balik kampung cuti Raya?

Jalan raya yang kosong menandakan orang ramai sudah mula mengambil cuti panjang sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri. Kemungkinan besar, perjalanan pulang ke kampung halaman akan bermula hari ini atau esok, hari terakhir Ramadan.

Mana tahu, ramai yang sudah merancang berbuka puasa bersama ibu bapa, datuk nenek dan saudara mara di kampung. Tak kiralah betapa letih sekalipun, saat bertemu ahli keluarga pada hari perayaan, semuanya terubat.

Setiap kali merancang perjalanan jauh (mahupun dekat), jangan lupa untuk periksa “checklist” anda itu.
Daripada rumah dikunci selamat, kenderaan diperiksa hinggalah barangan yang perlu dibawa. Jangan pula nanti terpaksa berbelanja lebih kerana tertinggal sesuatu yang penting, hati tak tenang kerana tak pasti suis seterika ditutup atau tidak, terpaksa beratur panjang di stesen petrol kerana kad Touch N Go tidak dimasukkan kredit mencukupi.

Bagi mengelak semua itu, FMT Ohsem menawarkan bantuan “checklist” supaya anda dapat buat pemeriksaan semula sebelum kunci rumah dan pulang ke kampung dengan hati yang tenang.

Rumah

  • Periksa semua suis, pastikan papan suis utama ditutup bagi mengelak sebarang kemusykilan.
  • Pastikan peti sejuk tidak ditinggalkan dengan makanan cepat basi atau busuk jika anda memilih untuk menutup semua suis (suis utama).
  • Pasang lampu automatik yang hanya menyala pada waktu senja hingga awal pagi bagi memberi signal rumah berpenghuni.
  • Pastikan semua pintu dan pintu pagar dikunci
  • Seeloknya berikan 1 set kunci rumah kepada jiran yang dipercayai.
  • Lapor mengenai percutian anda di balai polis terdekat. Sebaiknya buat laporan secara komuniti supaya membolehkan pihak polis melakukan rondaan di kawasan perumahan anda.
  • Jangan lupa pastikan semua pintu dan pagar dikunci, jika perlu pasang kunci tambahan
  • Periksa sistem alarm (jika ada) sebelum pulang.
  • Jika kamera litar (CCTV), anda ada teknologi aplikasi untuk diperiksa menerusi telefon bimbit, aktifkan kemudahan itu.
  • Buang sampah di dalam dan luar rumah, jangan tunggu lori pemungut sampah kerana silap hari bulan, anda balik nanti rumah dikerumuni ulat dan tikus.

Kenderaan

  • Periksa dan servis kenderaan anda terlebih dahulu
  • Pastikan tayar tambahan dan alat baiki kenderaan semuanya dismpan baik dalam bonet kereta.
  • Isi petrol terlebih dahulu bagi elak kesesakan di stesen petrol.
  • Isi kad tol, Touch N Go atau Smart Tag anda. Isi lebih sikit, anda mungkin akan ada pelan berjalan-jalan kelak.
  • Atur barangan yang diperlukan secara kemas dan teratur, kalau boleh simpan mana-mana yang patut terlebih dahulu tanpa tunggu saat terakhir.
  • Simpan beg plastik kosong (takut ada yang sakit nak muntah), minyak angin, ubat-ubatan (sakit kepala, demam), beg sampah dan sebagainya.
  • Kalau perlu, muat turun semua aplikasi bantuan perjalanan seperti Google Map, Waze dan sebagainya yang membantu perjalanan anda lebih lancar.

Barangan

  • Simpan semua pakaian termasuk baju sejuk, tilam, bantal dan selimut serta barangan keperluan yang lain.
  • Gajet menjadi barangan paling penting, jadi jangan lupa simpan pengecas telefon, kamera, radio, tablet, power bank, dongle, speaker atau earphone, plug, adapter dan semua gajet lain wajib ada.
  • Selipar, kasut ekstra, kasut sukan untuk anda dan anak-anak.
  • Barangan penjagaan diri, kosmetik dan kecemasan.
  • Payung tambahan, takut hujan lebat dan sebagainya. Kalau ada baju hujan lagi baik.
  • Alat tulis seperti pen, pensil, pen marker, gunting, gam dan sebagainya. Mana tau balik kampung nanti kena tulis surat!
  • Lampu suluh, lilin, mancis atau pemetik api.
  • Ubat nyamuk, semburan kulit dan ubat gegat dan spray nyamuk terutama sekali kalau kampung anda terkenal dengan nyamuk!
  • Snek sepanjang jalan, tak salah bawa lebih bolehlah kongsi dengan saudara mara
  • Buku, takut ada waktu bosan maka bolehkan layan bahan bacaan.

Sebenarnya, bagi barangan-barangan tertentu (ubat nyamuk, lampu suluh) yang dinyatakan, anda boleh sahaja berpakat dengan ahli keluarga yang lain. Tak perlulah bawa semua barangan yang dinyatakan, lagipun kebanyakan barang boleh dikongsi atau diguna secara bergilir.

Eh, jangan lupa bawa duit raya nak beri kat sanak saudara nanti. Cepat-cepatlah tukar duit kecil dan siap-siaplah masukkan dalam sampul ye!