Duta India anjur iftar untuk anak yatim Senegal

Setiap kali tiba bulan Ramadan, banyak pihak termasuk orang kenamaan dan pertubuhan mengadakan majlis berbuka puasa untuk golongan kurang bernasib baik seperti anak yatim dan orang kurang upaya.

Di Malaysia terutamanya, Ramadan dianggap sebagai bulan untuk bersedekah dan majlis berbuka puasa atau iftar membolehkan rezeki yang Allah SWT kurniakan dikongsi khususnya bersama golongan berkenaan.

Tradisi berbuka puasa ini turut diamalkan di Dakar, ibu negeri Senegal yang jaraknya hampir 8,000 kilometer dari Malaysia. Bagaimanapun, iftar atau dikenali sebagai ‘ndogou’ di kalangan masyarakat tempatan lebih bersifat tertutup dan hanya untuk keluarga terdekat. Tidak ada majlis besar-besaran yang melibatkan syarikat atau agensi menaja makanan untuk mereka yang memerlukan.

Makanya apabila Duta India ke Senegal, Rajeev Kumar memberi perhatian kepada sebuah rumah anak yatim yang terletak di kawasan miskin Dakar dan mengadakan majlis iftar untuk penghuninya, apa yang dilakukannya itu mendapat pujian ramai.

TYT Rajeev turut mendapatkan beberapa orang rakan diplomat serta ahli perniagaan India menyertai beliau dalam melaksanakan program itu.

Dua orang duta (Malaysia dan Gambia), diplomat dari Guinea Bissau dan Perancis serta kira-kira 20 orang ahli perniagaan menyertai Duta itu dalam menjamu anak-anak yatim di Rumah Anak Yatim Serigne Saliou Orphanage di Parcelles, Dakar.

Mereka yang biasa dengan Dakar akan tahu lokasi Parcelles, dan terutamanya kawasan kejiranan yang mengelilingi rumah anak yatim itu. Kalau hendak ke rumah berkenaan, perlu berjalan kaki atau kenderaan yang boleh dipandu di jalan yang tidak diturap.

Bangunan di kawasan itu juga didirikan begitu rapat dan hanya sedikit cahaya matahari menembusi di celah-celah bangunan. Anak-anak kecil sering bermain di jalan raya tanpa seliaan orang dewasa sementara kedai runcit sarat dengan pelbagai jenis barangan keperluan harian.

Rumah anak yatim yang dipilih Duta India itu menempatkan 74 orang kanak-kanak. Bangunan 2 tingkat itu diapit tanah kosong dan sebuah kedai runcit. Tingkat bawah dijadikan sekolah dan ada kalanya kanak-kanak dari kawasan kejiranan turut datang belajar. Kami diberitahu para guru mempunyai kelayakan dan ada juga sukarelawan yang membantu.

Terdapat tangga yang sempit dan gelap untuk ke tingkat atas yang dijadikan tempat tidur. Bayi yang berumur sehingga 2 tahun ditempatkan di sebuah bilik kecil tanpa tingkap. Pada malam jamuan iftar diadakan, terdapat 25 orang bayi, ada yang ditinggalkan selepas dilahirkan. Penghuni yang lain adalah anak yatim dan diletakkan di rumah itu kerana ibu atau bapa mereka tidak lagi mampu untuk menjaga mereka.

Ketika menjenguk ke sebuah bilik lain, hanya ada katil bertingkat dan sudah tentunya untuk kanak-kanak yang lebih besar dan boleh berdikari. Anak-anak yatim itu akan tinggal di rumah itu sehingga mencapai umur 15 tahun. Makanan dan pakaian disediakan dan mereka juga disekolahkan.

Memandangkan rumah anak yatim ini bergantung sepenuhnya kepada sumbangan, ada kalanya jumlah derma yang diterima tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan makanan harian.

Menurut TYT Rajeev, pemilihan rumah anak yatim itu dibuat selepas pentadbirnya, Seliou menghadiri satu acara kebudayaan yang dianjurkan oleh kedutaan India. Beliau begitu berminat dengan apa sahaja yang ada kaitan dengan India termasuk filem Bollywood. Seliou kemudiannya berkenalan dengan salah seorang kakitangan kedutaan yang memberitahu dutanya berkenaa rumah anak yatim itu.

Selepas berkunjung beberapa kali ke rumah anak yatim berkenaan, TYT Rajeev mula merancang untuk mengumpulkan beberapa orang rakan diplomat dan ahli perniagaan untuk memberitahu mereka mengenai rumah anak yatim yang serba kekurangan itu. Beliau turut memberi sumbangan untuk meringankan beban yang ditanggung pengurusan rumah anak yatim itu.

Berkongsi rezeki yang kita perolehi dengan golongan yang kurang bernasih baik bukan sesuatu yang asing di Malaysia. Rakyat negara ini terkenal dengan sifat pemurah dan hampir setiap malam sepanjang Ramadan, ada sahaja rumah anak yatim atau rumah orang tua diraikan untuk iftar.

Namun apa yang menarik mengenai iftar yang saya sebut ini ialah ia diadakan oleh seorang bukan Islam di negara yang penduduknya 92% beragama Islam. Satu perkara lagi yang menjadikannya istimewa ialah TYT Rajeev berjaya menyakinkan beberapa orang warga India yang mempunyai kepentingan ekonomi di Senegal berkongsi usaha murni itu.

Pada malam jamuan iftar diadakan, ahli perniagaan India yang beragama Islam, Hindu dan berkerturunan Sikh berganding bahu bukan sahaja untuk memberi sumbangan tetapi juga sama-sama berkenalan mesra dengan anak yatim serta penjaga mereka.

Makanan sudah tentunya perkara utama untuk jamuan iftar dan hidangan yang disediakan tidak mengecewakan. TYT Rajeev mendapatkan khidmat tukang masaknya, seorang wanita Senegal untuk menyediakan briyani ayam, kari dalca dan juadah India yang lain untuk anak yatim dan para tetamu.

Rajeev juga bukan calang-calang diplomat. Beliau fasih dalam beberapa bahasa iaitu bahasa Inggeris, Portugis, Itali dan boleh juga bertutur bahasa Sepanyol dan Perancis. Kefasihannya dalam bahasa Portugis memudahkan tugas beliau di Cabo Verde (di mana beliau ditauliahkan) berbanding duta lain yang kurang fasih dalam bahasa berkenaan.

Dalam tempoh 2 tahun di Senegal, Rajeev menganjurkan pelbagai acara promosi kebudayaan dan ekonomi untuk menjalin hubungan lebih erat antara India dan Senegal.

Acara iftar atau ‘ndogou’ di rumah anak yatim itu jelas menunjukkan betapa Rajeev ini mempunyai perasaan belas terhadap anak-anak yatim. Ini boleh dilihat ketika beliau duduk bersama-sama anak yatim itu dan berbual mesra dengan mereka. Ternyata beliau tidak membiarkan perbezaan agama, budaya atau status sosialnya menghalang beliau daripada membuat kerja kebajikan untuk anak-anak yang kurang bernasib baik ini.

(Penulis, Dr Shazelina Zainul Abidin ialah Duta Malaysia ke Senegal dan berpejabat di Dakar. Beliau juga ditauliahkan ke beberapa buah negara berhampiran Senegal.)