Noriah terima tetamu tak dikenali kerana kek lapis

Jika setahun yang lalu, wanita ini menyediakan 36 jenis kek lapis Sarawak untuk dihidangkan kepada tetamu pada hari lebaran, bagaimanapun jumlahnya bertambah kepada 42 jenis tahun ini.

Noriah Kapli, 47, berkata beliau bersemangat melakukannya demi meraikan tetamu serta ‘berkongsi rezeki’ yang diperolehinya hasil jualan kek lapis sepanjang sambutan Hari Gawai dan Aidilfitri tahun ini.

Paling menarik pastinya, lebih 50% tetamu yang datang langsung tidak dikenali Noriah, mereka datang selepas mendengar rumah yang terletak di Kampung Paroh dekat Kuching ini menyediakan puluhan jenis kek lapis Sarawak setiap tahun.

“Tahun ini saya sediakan 42 jenis kek lapis, antaranya ialah kek lapis sisik ikan, kaca pertama, goyang dangdut, castello, belacan, coklat cheese, valentino dan banyak lagi.

“Tetamu yang datang ada yang saya kenal, tetapi ada yang langsung saya tidak kenal mereka datang dibawa oleh rakan untuk merasai kek lapis yang dihidangkan serta mengambil gambar,” katanya kepada Bernama di Kuching.

Noriah berkata, mengikut harga pasaran, kek-kek yang dihidangkan beliau berharga antara RM75 hingga RM120 setiap satu mengikut jenis.

“Seperti tahun-tahun sebelum ini, ini cara saya untuk berkongsi rezeki yang diperoleh hasil aktiviti jualan kek lapis semasa Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri.

“Tahun ini juga sejarah buat saya apabila kek dandie, kek buah campuran kismis, badam, gajus, buah ceri, buah kurma dan buah prune dibeli tetamu yang datang ‘berjarah’ (beraya),” katanya sambil menambah amalan menghidangkan kek lapis sudah dilakukan sejak 1997.

Ibu kepada 4 cahaya mata itu berkata, rumah terbukanya akan diadakan sehingga sambutan hari raya ketujuh.

“Sejak hari raya pertama, ramai yang datang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat seperti Iban, Melayu, Orang Ulu dan Cina. Rasa puas hati bila tengok ramai yang datang bersama-sama untuk meraikan hari lebaran di samping merasai kek lapis yang dihidangkan,” katanya.