Pengalaman ‘kampung’ untuk rakyat Malaysia beraya di India

Bagi 30 orang rakyat Malaysia yang berada di India untuk melancong, perasaan sedih serta rindukan kampung halaman mula terasa menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Namun perasaan sedih dan rindu itu terubat juga apabila mereka menerima undangan untuk menyambut hari pertama lebaran Sabtu lepas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi yang terletak di kawasan diplomat Chanakyapuri.

Kebanyakan bahagian di India menyambut 1 Syawal pada Sabtu 16 Jun.

Selepas menunaikan solat Aidilfitri, mereka dijamu dengan pelbagai jenis juadah Malaysia yang dihidangkan dalam suasana kampung Melayu.

Bernama difahamkan ahli diplomat, keluarga serta kakitangan suruhanjaya bekerja keras pada bulan Ramadan untuk membuat persiapan jamuan hari raya di dewan serbaguna di bangunan suruhanjaya itu, dengan sentuhan suasana kampung.

Sebuah “rumah kampung” didirikan siap dengan unggun api dan kuali besar yang digunakan untuk mengacau dodol. Di atas pentas diletakkan bekas permainan congkak untuk menjadikan suasana menyambut 1 Syawal lebih meriah.

“Banyak kenangan bila dikelilingi suasana seperti kampung ini dan saya berasa sungguh terharu, “ kata Mohammed Hafiz, seorang pelajar universiti yang melancong ke selatan India beberapa minggu lepas dengan sekumpulan rakannya. Mereka kini melakukan lawatan ke bahagian utara India.

Kebanyakan barangan hiasan untuk menghidupkan suasana perayaan Aidilfitri dibawa dari Malaysia supaya lebih unik.

Semua kerja menghias diselia Datin Rosie Hidayat, isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India sementara hidangan pula dikendalikan Perwakilan, the group representing the spouses of High Commission officials.

Bilangan rakyat Malaysia di Delhi tidaklah ramai, kebanyakan mereka ahli diplomat serta keluarga mereka.

Beberapa orang rakyat Malaysia yang bekerja di sektor korporat difahamkan balik ke Malaysia untuk beraya di kampung halaman bersama keluarga dan sanak saudara serta rakan dan taulan.

Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke India, Dato Paduka Haji Sidek Ali serta beberapa ahli diplomat yang lain menyertai rakyat Malaysia yang lain untuk solat Hari Raya Aidilfitri.

Penunggang motosikal Malaysia, Mohd Alfishahrin Zakaria dan isterinya, Diana Latief turut hadir di majlis hari raya itu dan berkongsi pengalaman mereka mengembara ke beberapa buah negara selepas diijabkabulkan.

Para tetamu juga menonton perutusan Hari Raya oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang antara lain menyeru umat Islam menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Kira-kira 100 orang menghadiri jamuan hari raya itu termasuk kanak-kanak yang mengenakan pakaian yang berwarna-warni, masing-masing bersalaman mesra sambil mengucapkan “Selamat Hari Raya”.

Hidangan di majlis itu begitu sedap sekali dan antara yang dihidangkan termasuk sate, rendang, kari kambing, nasi tomato, lemang, ketupat nasi, ketupat palas and pencuci mulut.

“Semua kakitangan kami memang mahir dengan apa yang perlu dilakukan dan mempunyai sikap kerja berpasukan yang tinggi. Mereka begitu gigih membuat persiapan untuk majlis Aidilfitri ini disebalik kesibukan sepanjang Ramadan, “ kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Hidayat Abdul Hamid.

Mohd Iqbal Bin Mohd Noor, yang turut menyelia kerja-kerja persiapan berkata semua yang terlibat bekerja dengan sepenuh dedikasi sepanjang bulan Ramadan.

Menurut beliau, perkara paling mencabar ialah membina rumah kampung.

Perayaan Aidilfitri akan diteruskan dengan penganjuran “rumah terbuka” di Suruhanjaya Tinggi dijadualkan minggu ini.

Bernama diberitahu antara yang diundang ke majlis itu termasuk masyarakat diplomat di Delhi yang akan mempamerkan pelbagai kebudayaan serta suasana hari raya seperti yang disambut di Malaysia.

(Pewarta Bernama di New Delhi, Shakir Husain berkongsi kisah dari ibu negeri India.)