Piala Dunia platform gaya rambut pelik, unik

Carlos Valderrama dari Kolombia – Piala dunia 1990

Pelbagai perkara menjadi perhatian apabila sesuatu acara besar berlangsung. Bagi Piala Dunia 2018, selain lokasi perlawanan, warna jersi dan pilihan pemain, ada lagi aspek lain yang menjadi ikutan penonton.

Salah satunya adalah fesyen rambut pemain yang menjadi sebutan media sosial mahupun media utama.

Kita semua tahu ada pemain antarabangsa ternama gemar mengubah penampilan mereka dan sebagai lelaki, fesyen mereka terhad dengan keutamaannya lebih kepada gaya rambut.

FMT Ohsem memaparkan beberapa gaya rambut unik yang menjadi perhatian pada acara Piala Dunia sebelum ini.

Ronaldo dari Brazil – Piala Dunia 2002

Apabila dunia memerhati perlawanan bola sepak pada acara Piala Dunia 2002, seorang pemain menjadi buah mulut kerana gaya rambutnya. Ternyata gaya rambut Ronaldo yang pelik pada awalnya disindir tetapi lelaki ini berjaya menjadikannya satu ikutan fesyen dalam kalangan penggemar fesyen khususnya di Brazil.

Rodrigo Palacio dari Argentina – Piala Dunia 2014

Masih menjadi teka teki, sebab Rodrigo memilih gaya rambut demikian. Walaupun rambutnya dicukur pendek tetapi keputusannya untuk meninggalkan sedikit rambut di bahagian belakang kepala dan membuat tocang jadi perhatian peminat bola sepak dunia. Kalau dia tak buat demikian, tak mungkin kita bercakap mengenainya sekarang. Mungkin itu sebabnya.

Nani dari Portugal – Piala Dunia 2014

Lelaki ini memilih untuk memperaga nombor jersinya dalam lakaran bentuk bintang di kepala dengan mencukur rambut gaya sedemikian. Sememangnya pemain ‘bintang’ yang terkuat dalam pasukan Brazil ini menyampaikan ‘kenyataan’ fesyen menerusi gaya rambut tersebut.

Asamoah Gyan dari Ghana – Piala Dunia 2014

Gayanya hampir serupa dengan Nani tetapi nombor sahaja berbeza, ikut jersi Asamoah, bernombor 3. Asamoah mengambil keputusan mencukur bahagian tepi di atas telinga dengan nombor dan mewarnakannya. Gaya ini mendapat reaksi bercampur, ada yang kecam, ramai pula yang puji.

Gervinho dari Ivory Coast – Piala Dunia 2010

Entah apa yang difikirkan Gervinho dalam memperagakan rambutnya. Memiliki rambut “braid” bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan pemain benua Afrika tetapi cara Gervinho menggayakannya termasuk dengan mengikat tali di kepala mungkin untuk menjadikannya lebih kemas kelihatan kelakar kepada kebanyakan penonton. Apapun, ia tetap menjadi tarikan.

David Beckham dari England – Piala Dunia 2002

Tidak sah penampilan David Beckham tanpa menggayakan rambutnya itu. Sememangnya suami Victoria Beckham ini terkenal dengan gaya rambut yang unik dan penuh citarasa fesyen semasa. Pada 2002, rambut Beckham menjadi tarikan sehingga ramai yang tampil mencubanya sehingga ke hari ini. Beckham kami rindu anda!!!

Mario Balotelli dari Itali – Piala Dunia 2014

Kebanyakan laporan memilih gaya rambut Balotelli sebagai fesyen ‘malapetaka’ tetapi lelaki ini tak pernah kisah. Gaya rambut “mohawk”nya terus menjadi trend dan ikutan. Malah, kerana gaya rambutnya yang mengancam itu, dia diikuti lebih 2.9 juta pengikut di laman Instagramnya ketika itu (kini 7.1juta).

Neymar dari Brazil – Piala Dunia 2018

Nampaknya gaya rambut Neymar menjadi bahan “troll” untuk tahun ini. Rambutnya yang digayakan secara berselerak dan diwarnakan kuning keemasan disamakan dengan mi atau spageti oleh penonton bola sepak. Ia sedang di”troll” secara aktif di laman sosial.

Paul Pogba dari Perancis – Piala Dunia 2018

Seorang lagi pemain dengan gaya rambut yang unik dan menarik ialah Paul Pogba. Bukan sahaja dicukur secara kreatif, cara dia mewarnakan rambutnya dalam pelbagai warna juga agak unik dan jadi perhatian penonton. Sememagnya pemain ini terkenal dengan gaya rambut ekstrem dan luar biasa.