‘Book truck’ dekatkan murid dengan buku

Trak makanan atau lebih dikenali sebagai ‘food truck’ mungkin tidak asing bagi masyarakat Malaysia, namun sebuah syarikat penerbitan buku, PTS Media Group tampil dengan idea ‘book truck’ bagi memupuk minat membaca dalam kalangan generasi muda.

Pengurus Jualan unit PTS Event and Exhibition, Nahddatun Nisaak Othman berkata, bermula pada awal tahun lepas dengan sebuah trak 5 tan, PTS menggerakkan ‘Geng Buku PTS’ ke sekolah-sekolah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Menurutnya ‘book truck’ yang membawa sehingga 600 judul buku itu boleh memuatkan 50 orang murid pada satu-satu masa, bertujuan mendekatkan mereka dengan bahan bacaan, terutamanya di sekolah-sekolah yang jauh dari kedai buku.

“Antara kawasan luar bandar yang kami pernah masuk seperti di Sabak Bernam, Selangor atas permintaan guru sebab kedai buku jauh dan kami nampak pelajar memang teruja dengan kehadiran book truck kami,” katanya kepada Bernama.

Nahddatun Nisaak berkata setelah lebih setahun diwujudkan, book truck PTS menjelajah ke selatan negeri Perak, Negeri Sembilan, utara Melaka dan merancang untuk ke Johor pada Julai depan.

Menurut Nahddatun Nisaak oleh kerana sambutan menggalakkan yang diterima daripada pihak sekolah, Geng Buku PTS kini menambah 4 lagi trak satu tan dengan setiap satu boleh memuatkan 300 judul buku.

Katanya antara bahan bacaan yang dijual melalui book truck itu ialah komik terbitan PTS seperti komik sains, misi fizik, misi 10A+ serta komik fiksyen seperti bola sepak dan adiwira.

“Walaupun komik, kita jaga dari segi bahasa dengan menggunakan Bahasa Melayu penuh. Kandungan pun sesuai untuk pembelajaran.

“Selain itu, kami juga membawa novel akademik dan fiksyen tetapi bagi novel fiksyen seperti thriller dan sebagainya kami akan mendapatkan kebenaran daripada pihak sekolah terlebih dahulu,” katanya.

Nahddatun Nisaak berkata selain jualan buku, Geng Buku PTS juga menjalankan pelbagai aktiviti di setiap sekolah yang disinggahi secara percuma seperti bengkel penulisan, bengkel komik, origami dan mewarna.

Katanya pihak sekolah yang berminat menjemput book truck tersebut boleh menghubungi mereka melalui laman Facebook atau Instagram Geng buku PTS.