Bukan mudah jual perabot dalam talian

Gambar Facebook Izzati Mohamad Amran.

Membeli perabot rumah secara dalam, talian dengan harga mencecah ribuan ringgit bukanlah sesuatu yang mudah sekiranya seseorang pembeli itu tidak yakin dengan kualiti produk yang bakal diterima termasuk bimbang sekiranya ditipu.

Menjadikan itu sebagai cabaran, ibu anak 3, Izzati Mohamad Amran, 28, yang menjalankan perniagaan menjual perabot rumah secara dalam talian ini sentiasa mencari kaedah baharu untuk menyakinkan pelanggannya terhadap perniagaan yang dilakukan termasuk memperkenalkan kaedah pembelian ‘bayar waktu terima’ (BWT) meskipun terdapat risiko bakal ditanggung pihaknya.

“Menjual perabot rumah secara dalam talian ini bukan mudah, sebab kita tahu kepuasan dalam membeli itu apabila pelanggan dapat pegang dan lihat sendiri barang yang ingin dibeli, tetapi inilah saya jadikan cabaran untuk menyakinkan pelanggan yang saya bukan tipu dan barang yang saya jual, mempunyai kualiti yang baik.

Kerana itu pelbagai kaedah saya cari semata-mata untuk mendapatkan kepercayaan bakal-bakal pelanggan termasuk memperkenalkan kaedah BWT meskipun ia berisiko kepada saya sendiri, sekiranya pelanggan membatalkan barang ditempah ketika barang dimasukkan di dalam lori yang kami sewa untuk penghantaran,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Namun, itu bukanlah pematah semangat baginya kerana bukan mudah untuk seseorang pembeli itu yakin untuk beli perabot rumah secara dalam talian ini.

Mula menjalankan perniagaan Kedai Perabot Online Izzahra Enterprise secara kecil-kecilan sekitar tahun 2016 menerusi Facebook, Izzati yang sebelum ini merupakan pegawai bomba mengambil keputusan berhenti bekerja dan memberi sepenuh perhatian terhadap perniagaannya.

“Mula-mula saya jual barang sikit-sikit yang boleh pos dan penghantaran guna kereta di Negeri Sembilan dan Melaka, macam karpet, cermin, meja hiasan, sofa kecil tetapi apabila saya lihat perniagaan ini boleh menjana pendapatan yang baik, saya mula serius pada awal tahun lepas.

Melihat kepada hasil jualan mingguan yang memberansangkan, suami saya yang merupakan seorang pensyarah di Global Institute of Studies, Nilai kemudiannya mengambil keputusan berhenti bekerja akhir tahun lepas dan menjalankan perniagaan ini bersama-sama,” katanya.

Sehingga kini, selain di Negeri Sembilan, Kedai Perabot Online Izzahra Enterprise yang dijalankan bersama suaminya Mohamad Izzuddin Yakub, 31, turut membuat penghantaran ke Pahang, Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka.

“Sekarang saya sudah jual set lengkap bilik tidur, perabot rumah, set ruang tamu antaranya katil divan, tilam, sofa, meja makan, almari dan sebagainya.

Pelanggan saya terdiri daripada lelaki dan wanita berusia 20-an hingga 60-an. Selalunya pelanggan saya yang baharu ada Facebook susah nak percaya barang saya jual… dan biasanya mereka ini saya tawarkan pembelian secara bayar waktu terima, barang sampai pada mereka, kalau mereka puas hati baru ambil dan bayar,” katanya.

Selain menjalankan perniagaan di dalam Facebook, Izzati juga mempromosikan barangan mereka di dalam portal membeli-belah seperti Corousel, Mudah.my dan Shopee dan dibantu 2 lagi kakaknya, katanya yang mengimpikan untuk memiliki bilik pameran sendiri dan mempunyai lori sendiri untuk melancarkan lagi perniagaannya.