Mansuh larangan memandu, wanita Arab akui kebebasan sebenar

Detik yang di tunggu-tunggu wanita Arab Saudi akhirnya tiba selepas mereka didapati membanjiri jalan raya di seluruh pelosok negara itu dengan memandu kenderaan sendiri.

Ia rentetan daripada pemansuhan larangan memandu terhadap wanita di negara teluk tersebut selepas tengah malam Sabtu yang lepas.

TV Arab Saudi juga mengadakan siaran langsung khas menyiarkan 10 wanita Arab Saudi pertama yang memandu kereta mereka di negara itu sekaligus merekod momen bersejarah negara itu.

Menariknya, wanita Arab akui merasai kebebasan sebenar selepas dibenar memandu tanpa ditemani lelaki mahram.

Bukan itu sahaja, seorang penyanyi wanita Arab Saudi, Tamtam, yang kini berada di Los Angeles menulis sebuah lagu khusus dalam klip video bertajuk “Drive” bagi meraikan golongan wanita yang memandu di Arab Saudi.

Lagu itu dimainkan oleh portal berita online, Arab News, lagu itu berkisar cita-cita penyanyi itu memandu kereta idamannya, Ford Mustang convertible klasik berwarna kuning, bersama rakan-rakan.

Pemansuhan larangan memandu oleh Raja Salman Bin Abdulaziz Al Saud pada September lalu dilihat sebagai kemuncak bagi pencapaian tahun yang dramatik sejak pelantikan Putera Mahkota Mohammed Bin Salman.

Menurut undang-undang, wanita Arab Saudi perlu berumur 18 tahun sebelum layak mendapatkan lesen memandu peribadi, yang terpakai kepada semua jenis kenderaan termasuk motosikal, manakala usia bagi memperoleh lesen memandu awam ialah 20.

Pada 18 April lalu, larangan 35 tahun terhadap panggung wayang dimansuhkan, dengan penayangan sebuah filem keluaran Marvel iaitu “Black Panther.”

Menjelang 2020, kira-kira 3 juta wanita dijangka memandu di Arab Saudi, menurut satu laporan yang disusun oleh firma audit PwC, petik laporan Bernama.