Bolehkah filem Malaysia setanding filem Bollywood?

Katakanlah bintang filem tersohor Bollywood datang ke Kuala Lumpur, saya boleh bayangkan berduyun-duyun peminat Malaysia akan memburu bintang pujaan mereka itu, berswafoto dan cuba mendapatkan autografnya.

Mungkin ada juga yang akan berpuas hati hanya dengan melihat bintang filem itu dari dekat.

Sebagai perbandingan, bagaimana pula halnya dengan bintang filem negara ini? Adakah mereka juga mempunyai bilangan peminat yang ramai dan menjadi buruan? Apa yang pasti industri hiburan India jauh lebih hebat daripada di Malaysia.

India menghasilkan lebih 1,000 buah filem setahun dan Bollywood menampung pelbagai lapisan penonton, dengan menjana pendapatan besar dari jualan tiket di Kuala Lumpur hingga ke London.

Filem Bollywood yang ditayangkan di Malaysia menjana pulangan pelaburan yang amat memuaskan untuk pengeluar filem berkenaan dan mempunyai pengaruh yang besar di kalangan peminat filem Hindi di negara ini.

Kalau hendak diikutkan tiada sesiapa yang boleh membuat perbandingan antara industri filem Bollywood dengan pembuat filem di Malaysia. Dari segi jumlah, jumlah yang dikeluarkan di India adalah terlalu besar!

Bagaimanapun, apa yang pihak berkuasa Malaysia dan pembuat filem di Malaysia boleh lakukan ialah mencari cara bagaimana filem yang dikeluarkan di negara ini boleh tingkatkan kualitinya dan boleh dipasarkan dengan lebih meluas termasuk di negara jiran Malaysia.

Mereka juga perlu memikirkan cara untuk menambat hati rakyat Malaysia yang membesar menonton filem Hindi untuk berminat dengan filem Malaysia.

Pengarah filem Malaysia, Tunku Mona yang baru-baru ini menghadiri pesta filem di New Delhi di mana filemnya, “Redha” yang memenangi anugerah ditayangkan, berkata apa yang perlukan dibuat ialah mendidik penonton Malaysia untuk menghargai filem bukan yang berbentuk komersial atau berdasarkan tema klise iaitu cinta, ganas dan seks.

“Penonton Malaysia perlu didedahkan dari usia muda untuk menonton filem yang bagus. Pendidikan amat penting dalam hal ini. Sekolah di Malaysia juga perlu didedahkan dengan lebih banyak teater dan drama bukan yang glamor sahaja, “ katanya.

Pengeluar filem di Malaysia juga perlu menghasilkan filem yang berkualiti bagi memastikan penonton dapat sesuatu yang bermutu apabila mereka pergi ke panggung wayang.

“Kita ada kemahiran, pengetahuan dan teknologi tetapi kita tidak ada set minda yang betul, “ kata Mona.

Mengenai cabaran menghasilkan filem di Malaysia, beliau berkata isu besar ialah untuk mendapatkan dana.

Pelabur swasta enggan menyediakan pembiayaan kerana banyak projek filem gagal akibat kelemahan penghasilan filem.

“Kecuali pengeluar filem belajar iaitu filem memerlukan standard, kita tak akan dapat menarik rakyat Malaysia menonton filem mereka. Jika mereka sudah percaya dengan kualiti filem tempatan, mereka pasti menonton filem Malaysia, “ katanya.

“Menghasilkan nama jenama yang boleh mengeluarkan filem bermutu tinggi akan menjana keyakinan itu, “ kata Mona.

Filem yang bagus yang dikisahkan menerusi penghasilan yang rapi berpotensi mempunyai peminat yang meluas kerana tema Malaysia boleh diterima dengan baik di negara jiran seperti Indonesia, Brunei dan Singapura.

Meskipun ada filem “blockbuster” Bollywood mempunyai jumlah peminat yang besar di luar negara, industri filem India dikuasai adegan menyanyi dan menari serta plot fantasi yang menonjolkan emosi yang berlebih-lebihan.

Dari sudut komersial, filem sedemikian memang berjaya dan kebanyakan pembuat filem tidak perlu menjawab sebarang tuduhan filem itu kurang penglahiran artistik dan kisah yang diceritakan tidak berlandaskan keadaan hidup sebenar di negara itu.

Aspek ini yang boleh ditangani pembuat filem Malaysia dan Mona bertegas: “Saya tidak akan menghasilkan filem seperti yang dikeluarkan di Bollywood yang lebih berunsurkan komersial.”

(Pewarta Bernama di New Delhi, Shakir Husain berkongsi kisah dari ibu negeri India.)