Penyanyi Mila mahu berdialog dengan menteri sumber manusia

Nampaknya isu Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran melarang pekerja asing bekerja di premis makanan tempatan mengundang ketidakselesaan termasuk kepada penyanyi dan usahawan Mila Jirin.

Bekas Juara Akademi Fantasia musim ke-5, Mila bukan sahaja menyampaikan rasa tidak senang, malah mahu berdialog dengan Kulasegaran berhubung isu pengambilan tukang masak tempatan untuk bekerja di restoran, kedai makan dan gerai di negara ini.

Dalam kenyataannya di Instagram, Mila mempersoalkan jika menteri membuat kajian terperinci sebelum membuat keputusan dan pengumuman ini.

Mila yang mengendalikan restoran masakan Thai, Restoran Embun Urai berkongsi pengalaman selama 6 tahun menggaji tukang masak tempatan dan dari Thailand.

“Saya dah menguruskan Embun Urai secara sendiri selama 6 tahun dan macam-macam pengalaman dah saya tempuh terutama apabila menggaji pekerja tempatan untuk memasak sebagai tukang masak kedai Tom Yam… Ini bukan soal gaji, tetapi tak semua anak tempatan sanggup bergelar sebagai tukang masak di kedai Tom Yam,” katanya.

Oleh itu, Mila meminta pihak kementerian mengkaji dan menyelidik peniaga yang mengusahakan restoran menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

“Dulu kami kena teruk waktu GST diadakan, saban bulan pendapatan hanya mencukupi kos operasi sahaja, harga barang tinggi tetapi harga makanan di restoran tomyam tetap kekal tak dinaikkan. Bila mereka nak hentikan PLKS ni pula, mesti banyak kedai tomyam akan tutup sebab apa?? Bukan senang cari tulang masak.”

Demikian rintih Mila yang turut bersedia menaja lokasi dialog bersama menteri itu.