Lelaki Jepun hidup bersendirian 30 tahun di pulau terpencil

Masafumi Nagasaki, lelaki warga emas berusia 82 tahun tinggal di pulau Sotobanari di Okinawa, Jepun sejak 30 tahun yang lalu.

Apa yang menarik adalah warga emas ini tinggal bersendirian di pulau itu dengan menjalani kehidupan seperti orang purba kala dan tanpa seurat benang pun di tubuhnya.

Bagaimanapun Nagasaki diarah meninggalkan pulau yang sebesar 1 km lebar berlokasi lebih dekat dengan Taiwan berbanding Jepun, untuk kembali kepada kehidupan urban.

Penjelajah dari Sepanyol, Alvaro Cerezo dari Docastaway mendokumentasi kehidupan Nagasaki pada 2014 ketika pertama kali mendapat tahu mengenainya.

Menurut Cerezo yang meluangkan 5 hari bersama Nagasaki berkata beliau turut mengamalkan sistem kehidupan yang terurus, peraturan dan undang-undang.

Cerezo mendokumentasikan pengalamannya bersama Nagasaki dalam dokumentari berjudul, “Naked Hermit.”

Sepanjang tinggal di pulau itu, Cerezo mengikuti peraturan seperti mencuci kaki sebelum masuk ke dalam khemah dan kaedah menggunakan tandas semula jadi. Kata Cerezo, ia harus dilakukan mengikut gerakan ombak bagi memastikan kotoran tidak ditinggalkan di atas pulau sebaliknya dibawa ke laut.

“Ia ternyata satu pengalaman yang menarik dan saya juga teruja dengan sikap patuh masa yang diamalkan Nagasaki sebagai sebahagian daripada budaya Jepun,” Cerezo akui Nagasaki tidak selesa apabila dia lewat 5 minit ke khemah pada pagi itu.

Cerezo juga berkata pulau yang diduduki Nagasaki sangat bersih berbanding pulau mewah yang dikendalikan syarikat persendirian di lokasi lain. Warga emas itu sentiasa membersih dan memastikan pulau itu terjaga sepanjang masa.

Nagasaki dipercayai tiba ke pulau tersebut pada 1989 ketika berusia 53 tahun dan tidak dipastikan sebab sebenar di sebalik keputusan itu.

Bagaimanapun Nagasaki dikatakan pernah bekerja sebagai jurufoto, bekerja di kilang di Osaka dan hotel di Shizuoka serta bar di kelab, sudah berkeluarga, mempunyai 2 orang anak dan isteri.

Walaupun warga emas itu kelihatan bogel, dia datang ke pulau itu dengan pakaian. Semua pakaian hilang apabila pulau itu berdepan beberapa ombak besar dan ribut serta lusuh dan koyak, sehingga dia kemudian memilih hidup bogel.

“Mencari tempat untuk kita menghembuskan nafas terakhir adalah perkara yang paling utama dalam hidup kita. Saya memilih tempat ini,” kata Nagasaki kepada Reuters pada 2012, pertama kali kisahnya disiarkan kepada umum.

Namun, impiannya untuk bersemadi dengan alam semulajadi di pulau itu nampaknya tidak kesampaian apabila dia diarah mengosongkan pulau itu selepas mengesannya pada April lalu.

“Dia diusir selepas seseorang melihatnya dalam keadaan uzur,” kata Cerezo kepada News.com.au.

“Mereka menghubungi pihak polis dan kembalikan dia kepada kehidupan urban. Dia tak mampu untuk berlawan dengan mereka kerana lemah dan tua. Mereka tidak akan membenarkan Nagasaki untuk pulang semula ke sini.”

Apapun, Nagasaki yang kini tinggal di rumah kerajaan di Ishigaki, lokasi bandar terdekat dengan pulau itu hidup jauh lebih sihat dan baik di sini.

“Apa yang pasti, Nagasaki tidak boleh pulang ke pulau itu. Dia sihat di sini,” kata Cerezo.