Alvin Chong kecewa peminat suruh bersunat

Apabila selebriti bukan beragama Islam aktif dalam industri hiburan Melayu, maka tidak hairanlah mereka lebih diminati oleh peminat Melayu sehingga menjadi sebahagian daripada perbualan harian.

Perkara sama berlaku kepada penyanyi dan pelakon lelaki Cina, Alvin Chong yang seringkali dilihat berlakon dalam drama dan filem Melayu sama ada sebagai lelaki Cina atau mualaf sehinggakan dia dibanjiri dengan permintaan peminat untuk masuk Islam dan bersunat.

Dalam satu laporan di Mstar Online, Alvin akui kecewa dengan mentaliti tersebut.

Alvin yang berusia 26 itu berkata, permintaan peminat itu bukan sahaja menggores perasaannya sebagai seorang beragama Kristian malah dia juga tidak selesa dengan jenaka berkaitan agama serta persoalan bila dia akan menukar agama.

“Perkara seperti ini juga berlaku terhadap orang Melayu yang berhijrah keluar negara, mereka juga turut melalui perkara yang sama iaitu akan ada yang bertanya dan meminta mereka tukar agama. Itu yang saya rasa,” ujarnya petik portal itu.

FMT Ohsem juga mendapati laman sosial Instagram Alvin juga dipenuhi dengan pelawaan masuk Islam dan bersunat.

Alvin menambah, itu bukan caranya untuk berdakwah, sebaliknya merasakan seseorang itu patut mengenali dirinya sebelum tampil dengan permintaan sensitif sedemikian.

“Dia perlu kenal dan jadi kawan saya dahulu. Kenapa masih ada orang bermentaliti begini di Malaysia?

“Mereka tanya bila saya nak sunat (bersunat), bila nak masuk Islam dan bergurau tentang agama. Bagi saya ia terlalu peribadi. Saya tidak akan balas mesej-mesej begini kerana ia hanya akan menjadi perkara serius dan sensitif,” ujarnya dalam laporan itu lagi.

Alvin juga berkata tidak bersedia membawa watak lelaki Melayu memandangkan dia belum bersedia dan tidak fasih berbahasa Melayu.