Awas! penggodam laman sosial mungkin memerangkap anda

Pagi-pagi lagi saya menerima pesanan WhatsApp daripada seorang rakan supaya “unfriend” dan “block” akaun laman sosial Facebook miliknya kerana ia digodam.

Saya terkejut memandangkan baru sahaja menerima pesanan meminta nombor telefon dan syarikat rangkaian telekomunikasi yang saya digunakan.

Segera saya memadam dan “block” Facebook rakan tersebut dan melayari internet jika sebarang tindakan yang boleh diambil untuk menyelamatkan privasi dan keselamatan data dalam laman sosial saya.

Nampaknya menggodam laman sosial seseorang individu bukanlah perkara baharu, sebaliknya dilakukan secara aktif di seluruh dunia oleh tangan ghaib yang sukar dikesan.

Internet juga mengajar saya betapa banyaknya pencerobohan yang digunakan untuk memanipulasi pengguna supaya terperangkap dalam jerat itu.

“Saya menyertai sebuah pertandingan. Mereka akan menghantar nombor kod kepada kamu. Sila hantarnya semula kepada saya. Telefon saya hilang, saya tidak dapat menuntut kod tersebut,” ini lebih kurang pesanan yang sepatutnya dihantar kepada saya selepas berkongsi nombor telefon.

Sebaik menghantar nombor kod tersebut, ia membuka ruang untuk penggodam menceroboh akaun.

Maka tamatlah riwayat Facebook yang digunakan, dan kesannya lebih buruk jika akaun media sosial itu sarat dengan maklumat aktiviti perbankan dan kewangan atau gambar-gambar foto yang mungkin disimpan dalam album privasi.

Menurut pencarian di internet, Facebook menerima lebih 175 juta daftar masuk setiap hari yang menawarkan pelbagai informasi, perkongsian dan urusan perniagaan.

Dalam masa sama, ia juga mendedahkan pengguna kepada penjenayah siber yang menggodam dengan pelbagai cara termasuk scam, pencerobohan data, penyebaran virus dan lain-lain.

Di bawah adalah antara kaedah pencerobohan yang paling umum digunakan dalam kalangan pengguna Facebook atau laman sosial yang lain.

1. Surat berantai

Anda mungkin terserempak dengan status berantai dalam Facebook. Ia lazimnya meminta anda berkongsi atau mendoakan seorang kanak-kanak malang, komuniti terabai atau mana-mana individu. Anda juga mungkin menerima status yang meminta “like” bagi status tertentu supaya individu berkenaan membelikan anaknya makanan atau hadiah, mungkin seorang yang ternama menderma sejumlah wang dan sebagainya.

Jadi anda fikir “like” atau “share” anda menjadi penentu satu keputusan yang mungkin kecil atau terlalu besar? Tidak!

Jadi mengapa wujudkan posting sedemikian? Sebenarnya ia hanya lawak jenaka seseorang atau cara penggodam memancing anda untuk berkawan dan kemudian menggunakan anda sama ada untuk menceroboh atau mencuri data.

Fikirlah baik-baik sebelum percaya sesuatu status. Takkanlah “like” anda boleh memujuk Presiden Amerika, Donald Trump menderma duit kepada anak yatim.

2. Pinjam duit

Anda mungkin berkawan dengan ramai orang di Facebook, kenal ataupun tidak. Tiba-tiba suatu hari, anda terima pesanan sama ada secara peribadi atau rawak, meminta sumbangan duit atas pelbagai alasan, jangan tertipu.

Walaupun pesanan itu datang dari Messenger atau Facebook rakan anda yang anda kenali sekalipun, jangan berurusan dalam laman sosial. Kalau anda tidak mengenali rakan itu, baik abaikan. Jika anda kenal mereka dengan baik, hubungi mereka sahaja.

Ini kerana penjenayah siber boleh menggodam laman sosial rakan anda dan menggunakan untuk menipu senarai dalam rakan tersebut.

3. Caj tersembunyi

“Apakah watak Star Wars yang sesuai bagi anda? Ketahui mengenai diri anda menerusi kuiz ini, semua rakan anda sudah menilai diri mereka! Apakah maksud di sebalik nama anda?” dan banyak lagi pasti menarik perhatian anda.

Ia memerlukan anda berkongsi maklumat tertentu seperti kebenaran melihat gambar, nombor telefon, data dalam Facebook dan selang beberapa minit, keluarlah jawapan anda sebagai watak Darth Vader.

Menarik tetapi tahukah anda kemungkinan perangkap yang terkait dengannya? Tunggulah sehingga anda terima bil telefon pada bulan akan datang.

Ada aplikasi yang tidak memberi apa-apa maklumat mengenai bayaran, sama ada percuma atau sebaliknya sehinggalah ia hanya dinyatakan dalam perjanjian 3 atau 4 muka surat yang kita jarang baca.

Jadi berpada-padalah, termasuk permainan FarmVille yang anda muat naik beberapa tahun dahulu.

4. Permintaan memancing data, “phishing”

“Seseorang berkongsi gambar anda dalam keadaan mabuk di sebuah majlis makan malam. Klik gambar di bawah untuk melihatnya”; “Adakah anda berbogel ketika bermalam di hotel XXX?”; dan banyak lagi perkongsian memeranjatkan sehingga anda tidak mempunyai masa untuk berfikir lalu klik pada pautan gambar tersebut secara terburu-buru.

Nah, anda sudah pun terperangkap. Pautan itu akan membawa anda mendaftar masuk ke Facebook atau mana-mana laman sosial sasaran yang lain. Sekali anda menaip kata laluan, anda memberi jalan mudah untuk penggodam menceroboh dan mengawal akaun anda itu.

Ini kerana pautan itu membawa anda kepada laman Facebook palsu yang membenarkan penggodam mengesan kata laluan anda itu. Lindungi internet dengan perlindungan anti “phishing”.

5. URL tersembunyi atau dipendekkan

Jangan semena-mena klik pada URL yang singkat hanya kerana ia disebarkan dengan tajuk menarik, gambar foto seseorang selebriti yang anda minati malah rakan anda sendiri. Ia mungkin perisian pemusnah atau perisian penggodam yang menceroboh laman sosial anda.
Maknanya anda tidak akan mempunyai rekod URL sebenar tetapi ia membawa anda kepada sumber tersembunyi yang tidak dinyatakan.

Namun, bukan semua URL singkat bermakna berbahaya cuma anda kena berhati-hati dan pasang perlindungan yang sewajarnya.