Dr M jadi driver pengawal peribadi

Fenomena menteri Pakatan Harapan menjalankan kehidupan harian seperti rakyat biasa, bergaul dengan jiran tetangga atau mengunjungi gerai makan menjadi berita di media mahupun di laman sosial.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dikesan memandu sendiri kereta bertemankan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Langkawi, manakala pengawal peribadinya duduk di belakang menjadi viral di laman sosial.

Dr Mahathir dikesan dalam kereta Volkswagen Tiguan untuk memeriksa pusat perkhidmatan ahli parlimen Langkawi yang baharu di bandar Kuah.

Berita beliau memandu sendiri dan membenarkan pengawal peribadi duduk di tempat duduk penumpang menerima pelbagai respon positif dalam kalangan netizen yang melihatnya sebagai satu pendekatan wakil rakyat yang mesra rakyat.

Pasangan itu dilaporkan meluangkan masa sekitar 30 minit melawat bangunan 4 tingkat yang dijangka dibuka hujung bulan Julai sebelum berangkat pulang ke lapangan terbang dengan turut memandu sendiri kenderaan itu.

Sebelum ini, Dr Mahathir turut memandu kereta bersama isterinya dan pengawal peribadi mereka untuk menghadiri mesyuarat di resort Ombak Villa.

Video dan rakaman Dr Mahathir memandu kereta di beberapa lokasi termasuk di Putrajaya juga viral sebelum ini.