Wanita Mongolia sukar dapat jodoh kerana terlalu pandai

Kedudukan taraf pendidikan yang jauh lebih tinggi dalam kalangan wanita di Mongolia menyebabkan negara itu kini berdepan masalah ketidakseimbangan gender selain kejatuhan kadar perkahwinan.

Kebanyakan wanita berpendidikan dan bercita-cita besar, sekurang-kurangnya memperoleh pekerjaan dan mengumpul harta sebelum usia 29 tahun memilih untuk tinggal di ibu kota Mongolia, Ulaan Baatar.

Ini mewujudkan jurang demografi yang agak besar dalam kalangan wanita dan lelaki di bandar raya yang diduduki lebih 1.5 juta orang itu.

Perangkaan menunjukkan Ulaan Baatar kini diduduki tambahan 60,000 orang wanita berbanding lelaki dan percanggahan ini sangat jelas di sekolah dan di tempat kerja.

Menurut statistik jabatan kerajaan pula, perkahwinan di Ulaan Baatar menurun dari 22.9 setiap 1,000 orang pada tahun 2007 kepada hanya 8.9 setiap 1,000 orang pada 2016.

Kebanyakan lelaki di bandar tersebut sudah pun dimiliki dan hampir 40% lelaki di atas 15 tahun di kawasan urban sudah berkahwin berbanding hanya 32% bagi wanita di ketetapan sama.

Wanita di Mongolia semakin menyerlah dari segi kedudukan sosial ekoran tahap pendidikan mereka yang jauh lebih tinggi daripada lelaki.

Ini kerana ibu bapa di Mongolia percaya anak perempuan memiliki tanggungjawab yang lebih dalam menjaga mereka di usia tua, justeru memberi keutamaan kepada wanita menelaah ilmu berbanding lelaki yang duduk di rumah membela haiwan peliharaan atau bertani.

Bagaimanapun, fenomena itu mencetuskan ketidakseimbangan dalam demografi sehinggakan wanita bersedia berkahwin dengan lelaki tanpa pendidikan asalkan dapat hidup bahagia dan selamat.

Berbeza dengan kesediaan wanita, lelaki di Mongolia pula mengakui wanita berpendidikan di negara itu terlalu memilih dan mengejar kekayaan dalam mencari pasangan hidup.

Pelbagai platform sosial mahupun premis gaya hidup seperti restoran, kafe dan bar mula menguruskan sesi temu janji untuk lelaki dan wanita di ibu kota itu.