Kahwin di usia muda orang awam, selebriti tempatan dan luar negara

Isu kahwin muda bukanlah sesuatu yang baharu di negara kita. Sejak sekian lama, kita terus dibelenggu dengan isu sosial yang semakin mendapat perhatian masyarakat.

Kahwin muda ini melibatkan kedua-dua pasangan atau salah seorang yang berkahwin di usia belasan tahun. Tidak ketinggalan juga bagi pasangan lelaki yang berada di usia jauh lebih muda daripada wanita.

Menurut undang-undang Malaysia, seseorang itu layak berkahwin pada usia 18 tahun dan ke atas dengan persetujuan kedua-dua ibu bapa, manakala dalam kes tertentu, kahwin seawal usia 16 tahun juga dipertimbangkan dengan dokumen sokongan dan sebagainya bagi remaja perempuan.

Apapun usia yang disyorkan untuk berkahwin dengan hak kebebasan yang sepenuhnya ialah 21 tahun bagi kedua-dua lelaki dan wanita.

Menurut statistik sejak 2000, kes kahwin di usia muda semakin meningkat dan ia membimbangkan masyarakat.

Kenyataan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 6 April 2016, angka permohonan berkahwin dalam kalangan orang Islam di bawah umur adalah 827 kes dan ia meningkat setiap tahun.

Penyelaras Residen PBB di Malaysia, Michelle Gyles-McDonnough pernah berkata keputusan kahwin muda ini menjejaskan akademik anak muda untuk melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi dan bersedia menjadi sebahagian daripada tenaga kerja yang produktif dalam negara berpendapatan tinggi.

Antara contoh kes kahwin muda yang menggegarkan negara ialah:

1. Perkahwinan antara pasangan yang dikenali Syafiq, 16, dan Yana, 14 tahun pada 2012. Perkahwinan mereka mengundang kontroversi selepas video majlis bersanding tersebar dalam laman sosial. Apapun, bapa kepada pengantin lelaki akui ia adalah tradisi keluarga mereka dan ia direstui keluarga kedua-dua pengantin.

2. Satu lagi perkahwinan melibatkan pasangan belasan tahun ialah Fahmi dan Fazira pada 2012. Ketika bernikah pengantin perempuan, Fazira hanya berusia 12 tahun dan suaminya, Fahmi 20 tahun. Fazira dikatakan dikahwinkan dengan Fahmi selepas menjadi mangsa rogol Fahmi dan 2 orang rakannya yang lain. Bagaimanapun, mereka bercerai talak 3 pada 11 November 2013, iaitu 6 hari sebelum menyambut ulang tahun pertama perkahwinan.

3. Pasangan Mohammad Khaldun, 18 dan Ameera Nadia berusia 17 tahun ketika mendirikan rumah tangga pada awal tahun ini. Kisah mereka dikongsi dalam majalah “Pengantin” yang menceritakan mengenai pertemuan dan bagaimana kedua-duanya jatuh cinta dan akhirnya berkahwin dengan restu kedua-dua belah ahli keluarga.

4. Pasangan Nurulain Mohammad, 15, berkahwin dengan seorang ahli perniagaan, Zulhelmi Kaharudin, 21 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh pada 14 Disember 2014. Ia menjadi satu lagi perkahwinan pasangan muda yang diadakan dengan restu kedua-dua keluarga selain mendapat liputan meluas. Zulhemi, mengusahakan perniagaan restoran akui akan membenarkan isterinya untuk menyambung pelajaran hingga ke peringkat universiti dan berjanji untuk menimang cahaya mata selepas itu.

Selain orang awam, ada artis tempatan yang turut memilih berkahwin pada usia muda, biasanya semuda 18 atau 19 tahun. Dan perkahwinan mereka tentu sekali mendapat sambutan peminat selain liputan berterusan daripada media.

Antara artis Malaysia yang merekod perkahwinan pada usia yang sangat muda ialah Datuk Paduka Kaiser Gurmit Harden dan pelakon remaja, Datin Paduka Eina Azman. Eina Azman memilih untuk berkahwin pada usia muda iaitu 19 tahun pada 31 Ogos 2014. Pasangan ini dikurniakan pasangan bayi kembar bernama Karl Kareef dan Arianne Aubrey pada 19 Februari 2016.

FMT Ohsem juga mengimbas perkahwinan muda selebriti antarabangsa seperti di bawah;

Pasangan Bollywood yang terkemuka pada era 80-an, Dimple Kapadia dan Rajesh Khanna antara pasangan yang berkahwin di usia muda. Dimple ketika itu hanya 16 tahun manakala Rajesh sudah pun berusia 33 tahun. Pasangan ini pernah berpisah beberapa kali tetapi tidak pernah bercerai secara sah.

Perkahwinan pertama Kim Kardashian dengan Damon Thomas dilangsungkan ketika Kim hanya berusia 19 tahun.

Penyanyi era 70-an, Taylor Hanson berkahwin dengan gadis yang dicintainya, Natalie Anne Bryant yang ketika itu baru berusia 18 tahun. Mereka dikurniakan 5 orang anak, Jordan, River, Viggo, Penelope dan Wilhelmina, hidup bahagia hingga ke hari ini.

Penyanyi, pelakon dan penulis lirik, Solange Knowles hanya berusia 17 tahun ketika melangsungkan perkahwinan pertamanya bersama Daniel Smith pada 2004. Kakak kepada Beyonce ini mempunyai seorang anak lelaki, Daniel Julez Smith, Jr pada tahun berikutnya dan berpisah dengan suaminya pada 2007. Dia kini mendirikan rumah tangga dengan pengarah muzik, Alan Ferguson.

Janet Jackson hanya berusia 18 tahun ketika berkahwin secara rahsia dengan James DeBarge.

Pelakon terkenal Hollywood, Melanie Griffith pula berkahwin kali pertama dengan Don Johnson ketika hanya berusia 17 tahun dan pelakon 50 Shades of Grey, Dakota Johnson merupakan anaknya.

Pelakon Bollywood yang membintangi filem seperti Mann, 3 Idiots dan sebagainya, Amir Khan berkahwin kali pertama pada usianya 21 tahun dan isterinya Reena pula hanya berusia 19 tahun.

Salah seorang daripada 3 Angels versi baharu, Drew Barrymore berkahwin dengan pemilik bar di Los Angeles, Jeremy Thomas pada usia 19 tahun dan bercerai sebulan selepas itu.